Friday, 25 December 2015

Catatan pengalaman (sambungan)

Entri: 15
Teks: Usry Abdullah

Bertemu kembali dalam catatan pengalaman berbisness.

Setelah hampir setahun kami menjalankan perniagaan menjual tudung, pendapatan dari perniagaan tersebut amat memberangsangkan. Walaupun ia dilakukan secara sambilan tetapi kami bersyukur kerana mampu memberi tambahan pendapatan kepada kami.

Berpandukan pepatah inggeris yang mengatakan bahawa kita jangan meletakkan keseluruhan modal dalam satu perniagaan sahaja, saya  membuat keputusan untuk menceburi satu lagi perniagaan baru iaitu membuka perniagaan produk sejuk beku. Tambahan pula pada tahun itu  banyak produk-produk sejuk beku diusahakan oleh usahawan bumiputera. Kurusus berkaitan perusahaan pembuatan kuih sejuk beku atau kuih 'frozen' tumbuh bagai cendawan lepas hujan. Dari karipap, popia, samosa, kuih ketayap, dan beraneka kuih tradisional telah dibuat perubahan dan menjadi kuih sejuk beku. 

Berbekalkan hasil keuntungan yang disimpan dari perniagaan menjual tudung dan sedikit simpanan peribadi, modal kerja berjumlah RM45,000 berjaya dikumpulkan.  Seperti juga persediaan untuk menjalankan perniagaan menjual tudung, saya juga membuat pelan perniagaan dan pemasaran untuk perniagaan menjual produk sejuk beku ini. Setelah berpuas hati dengan pelan perniagaan dan pemasaran yang dibuat, saya mula mencari kedai untuk disewa. RM650 sebulan adalah standard harga untuk sebuah kedai di bandar tempat kami tinggal pada masa itu. Saya juga membeli 6 buah ' display chiller' untuk mengisi produk dan memohon dua buah peti sejuk dari syarikat pembekal minuman untuk  menjual air tin sebagai produk sampingan.

Ayam, ikan, daging, daging burger, roti burger, bebola ikan,sotong,ketam dan barangan runcit termasuk beras menjadi produk utama kami. Di samping itu, kami juga medapatkan kuih sejuk beku seperti karipap, popia, donat, samosa dan pelbagai lagi kuih sejuk beku keluaran pengusaha bumiputera untuk dijual di kedai kami. Malangnya untuk sebulan sehingga tiga bulan pertma, kedai kami tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan. Kami sekadar mampu membayar gaji pekerja dan kos operasi serta membeli produk sahaja. (Untuk pengetahuan, perniagaan ini juga saya dijalankan secara sambilan. Pada waktu pejabat, saya akan ke tempat kerja dan apabila habis waktu pejabat, saya akan menumpukan perhatian di kedai sehingga pukul 10 malam. Sepajang saya di pejabat, tugas menjaga kedai diserahkan kepada seorang pekerja.)
Nampaknya penduduk sekitar lebih gemar membeli kuih muih yang telah siap digoreng di gerai-gerai di tepi jalan untuk minum petang atau membeli kuih sejuk beku  di pasaraya. Ini adalah kerana harga kuih sejukbeku yang belum digoreng bernialai 40 sen sebiji sedangkan harga kuih yang telah siap digoreng dan dijual di geraiialah 30 sen sebiji. Perbezaan harga ini mungkin menjadi faktor mengapa permintaan kuih sejuk beku kami tidak seperti yang diharapkan.
Produk lain seperti ayam, ikan dan daging juga kurang mendapat sambutan dari penduduk sekitar. Hanya suri rumah yang berkerja saja yang kadang-kadang datang membeli ayam atau  daging sejuk beku untuk dimasak semasa makan malam. Rata-rata penduduk tempatan  membeli keperluan harian mereka di pasar  dan pusat beli belah di Ipoh. Begitu juga  produk sejuk beku seperti, jejari ikan, sosej, bebola ketam, sotong, dan ikan juga tidak mendapat sambutan menggalakkan. Penduduk lebih suka membelinya ketika mereka membeli keperluan dapur di TESCO atau Giant yang terletak di Ipoh. Malah majoriti penduduk di kawasan kami beroperasi itu lebih tertarik dengan tawaran istimewa atau promosi harga yang dibuat oleh TESCO atau GIANT setiap bulan. Walaupun hanya membuat promosi atau potongan harga hanya kepada produk tertentu sahaja tetapi ramai penduduk sekitar yang akan mengunjungi gedung jualan mereka. Ini memberi kesan yang teruk kepada perniagaan kami dan peniaga runcit yang lain. Jualan kami amat tidak memberangsangkan. Hanya beberapa orang peniaga burger yang menjadi pelanggan tetap kami.

Masuk bulan ke lima, saya terpaksa menukar strategi perniagaan. Kali ini kami tidak boleh mengharapkan kepada golongan  pengguna saja sebagai pelanggan. Beribu flyers kami cetak dan edarkan ke setiap rumah di taman perumahan, namun sambutan tetap berkurangan. Saya juga sering mengedar  'flyer' di pasar minggu dan pasar malam serta meletakkannya di cermin kereta pengunjung pasar malam atau pasar minggu untuk membuat promosi tentang perniagaan kami, namun juga tidak memberi hasil yang memberangsangkan. Oleh itu saya mengambil keputusan untuk menambah  segmen pelanggan. Jika sebelum ini kami mengharapkan kepada penduduk yang tinggal sekitar kawasan  kami beroperasi sahaja sebagai pelanggan, kali ini saya ingin menjadikan peniaga makanan di kawasan sekitar juga sebahagian dari segmen pelanggan kami. 

Lalu saya pergi menemui beberapa peniaga makanan yang beroperasi di sekitar kawasan kami berniaga. Sambil menikmati makanan di kedai mereka, saya mengambil kesempatan untuk bercakap dengan pengusaha gerai atau restoran tersebut. Saya menanyakan berkenaan produk dan bahan mentah yang diperlukan dan menyatakan hasrat untuk menjalankan urusniaga dengan mereka. Pada mulanya ramai yang keberatan kerana tidak yakin untuk berurusan dengan kami, namun berkat kesabaran dan pandai berkomunikasi, beberapa pengusaha kedai makan bersetuju menjadikan kami sebagai pembekal ayam, daging dan barangan mentah yang lain untuk keperluan perniagaan mereka setiap hari. Untuk melengkapkan pakej, kami juga menambah satu lagi produk yang diperlukan untuk golongan peniaga iaitu santan. Jadi kami mencari pembekal santan beku dan melantik beliau sebagai pembekal santan beku kepada kami. Walaupun margin keuntungan adalah kecil berbanding memproses sendiri, ia hanyalah sebagai produk pelengkap dan penarik kepada peniaga lain serta penduduk sekitar untuk berurusan dengan kami. Nampaknya strategi ini berjaya.

Namun masalah lain pula yang  timbul, kami mengalami masalah kekurangan modal pusingan. Rupanya untuk menjadi pembekal kepada peniaga-peniaga seperti ini, kami perlu memberi hutang kepada mereka sekurang-kurangnya untuk tempoh dua minggu barulah mereka akan membuat pembayaran. Jika pengusaha pembekal makanan (katering)  pula, kami terpaksa menunggu sehingga sebulan baru mendapat bayaran. Di sinilah baru saya menyedari kesilapan saya dalam  membuat keputusan. Namun kami tidak boleh berpatah balik. Oleh itu saya terpaksa membuat anggaran perbelanjaan atau bajet  yang baru.

Setelah dikira, saya masih memerlukan sekurang-kurangnya RM20,000 lagi sebagai modal pusingan untuk menampung projek tersebut. Memandangkan perniagaan ini diusahakan secara sambilan, kami tidak layak membuat pinjaman sama ada daripada TEKUN, MARA, SMe Bank atau mana-mana agensi kerajaan yang lain. Syarat utama untuk membuat pinjaman dengan agensi-agensi tersebut  ialah anda  perlu mengusahakan perniagaan tersebut secara sepenuh masa. Oleh itu saya perlu mencari alternatif lain. Setelah berbincang dengan isteri, kami mengambil keputusan untuk berhenti berniaga tudung dan kesemua modal pusingan dan keuntungan dari perniagaan menjual tudung dilaborkan ke dalam perniagaan ini. Itupun tidak mencukupi. Isteri terpaksa 'mengorek' wang  dari akaun ASB beliau untuk menampung modal yang kami perlukan.

Setelah perniagaan ini beroperasi selama empat hingga lima bulan, keuntungan mula dinikmati. Perniagaan kami mula berkembang sedikit demi sedikit dan mendapat perhatian dari peniaga, pengusaha katering, peniaga pasar malam dan peniaga burger. Penduduk sekitar juga sudah ada yang menjadi pelanggan tetap kami. Namun langit tidak selalunya cerah. setelah setahun setengah bersama, pekerja kepercayaan kami memohon untuk berhenti kerja kerana mendapat tawaran berkhidmat dengan kerajaan. Tempat beliau diganti  oleh pekerja baru. Namun pekerja ini banyak menimbulkan masalah sehingga kami terpaksa memberhentikan beliau bekerja dengan kami.  Sejak dari itu, boleh dikatakan setiap bulan pekerja kami selalu bertukar ganti. Biasanya tak sampai dua bulan mereka bekerja pasti akan memohon berhenti kerja. Alasan utama ialah kerana gaji yang kami bayar adalah rendah berbanding gaji pekerja kilang. Di samping itu, kami juga tidak  memberi peluang mereka untuk kerja lebih masa seperti pekerja kilang.

Keadaan ini menyebabkan saya kerap memohon cuti kecemasan sekiranya pekerja kami tiba-tiba tidak datang bekerja atau berhenti secara mengejut tanpa notis. Boleh dikatakan hampir setiap bulan saya terpaksa mengambil cuti kecemasan. Kadang-kadang saya terpaksa ponteng dan 'pulang awal' dari tempat kerja kerana menggantikan tugas pekerja di kedai saya yang nak balik awal kerana ada urusan peribadi. Ini menyebabkan saya banyak mengabaikan tugas hakiki saya sebagai pengurus tempat saya bekerja. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya saya 'kantoi'! Saya ditangkap oleh pihak atasan ketika saya ponteng balik awal dari waktu kerja. Saya dipanggil oleh pihak ibu pejabat  menghadap Ketua Pengarah Operasi (Chief Operating Officer). Beliau memberi kata dua kepada saya sama ada ingin terus berkhidmat atau berhenti dan menumpukan perhatian kepada perniagaan yang dijalankan. 

Memandangkan gaji yang saya perolehi dari syarikat ini lebih tinggi berbanding pendapatan dalam perniagaan yang diusahakan, saya mengambil keputusan untuk berhenti berniaga. Saya mencari mana-mana peniaga atau individu yang ingin mengusahakan perniagaan seperti ini. Malangnya tidak ada yang berminat. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk menutup operasi perniagaan tersebut  dengan melelong produk dan peralatan kami dan mengalami kerugian  yang agak besar juga. Kami terpaksa menjual produk-produk kami dengan harga yang rendah malah ada yang dijual 'di bawah harga modal'. Manakala peti ais serta 'display chiller' pula dijual kembali kepada pembekal dengan separuh harga. Peti ais yang dipinjamkan oleh syrarikat pembekal minuman juga diserahkan kembali kepada mereka.

Walaupun telah berhenti berniaga, semangat berniaga tetap ada dalam diri saya. Jika saya tidak boleh mengusahakannya sendiri, saya berhasrat untuk mencurahkan pengalaman dan ilmu kepada mereka yang memerlukan dengan menjadi seorang perunding. Namun saya sedar bahawa dengan kelayakan yang ada, saya tidak boleh bersaing dengan perunding yang berpengalaman. Oleh itu, saya menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana Pengursan Perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM). Manakala untuk melayakkan saya menjadi tenaga pengajar dan perunding bertauliah, saya  mendaftar kursus 'Train of Trainner' yang dianjurkan oleh Perbadanan Sumber Manusia Berhad. Hasilnya, saya berjaya menjadi salah seorang pengajar sambilan (Trainner) di sebuah syarikat perundingan yang beroperasi di negeri Kedah. Syarikat ini  menyediakan perkhidmatan perundingan dan kursus dalam bidang pengurusan dan motivasi.  Banyak program yang saya sertai di bawah syarikat ini sebagai platform untuk menimba pengalaman dan mempraktiskan ilmu yang ada. Ia juga sebagai langkah pertama untuk saya berkecimpung dalam dunia 'consultant' atau 'trainning'.

Diam tak diam, walaupun saya masih berkhidmat secara sepenuh masa, saya telah berjaya menjadi penasihat kepada seorang doktor perubatan dan membantu beliau menubuhkan dan menjalankan operasi sebuah pusat haemodialysis dan pusat rawatan tersebut masih wujud sehingga kini  serta semakin maju. Saya juga berjaya membantu beberapa orang staff untuk membuka perniagaan kecil-kecilan seperti menjual ikan secara kecil-kecilan di rumah dan  membekal bahan mentah kepada restoran bagai pekerjaan sambilan mereka yang diusahakan selepas waktu pejabat. Saya juga menjadi rujukan kepada beberapa kenalan yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan termasuk perniagaan runcit dan peniaga pasar malam sekianya mereka menghadapi kebuntuan. Dengan nasihat yang saya berikan serta idea tambahan dari mereka, banyak masalah perniagaan yang dialami mereka dapat diselesaikan,malah ada beberapa kenalan membuat tawaran untuk saya bersama menyertai mereka. Namun terpaksa ditolak dengan lembut. 

Untuk memantapkan lagi ilmu pengetahuan di dada, saya menyambung pelajaran di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dan menjurus kepada pengurusan strategi. InsyaAllah dengan ilmu dan pengalaman yang ada ini akan saya gunakan nanti untuk membuka perniagaan kecil-kecilan setelah saya pencen kelak. Saya tetap yakin dengan dunia perniagaan. Walaupun ia diusahakan secara kecil-kecilan tetapi impak yang bakal dinikmati adalah berbaloi jika kita mempunyai perancangan dan strategi yang betul.

sekian coretan saya.




1 comment:

  1. Saya mahu tahu bagaimana nak jadi trainer.

    Apakah TOT kementerian Sumber manusia diadakan setia tahun?

    ReplyDelete

4 Langkah untuk membantu anda membuat jualan di media sosial

Mengikut laporan  akhbar tempatan, setiap hari semakin ramai individu yang menjalankan perniagaan sama ada secara sepenuh masa ataupu...