Sunday 17 January 2016

Peniaga kecil dan strategi (bahagian akhir).

Entri: 19
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google image



Sebagaimana yang dibincangkan sebelum ini, ramai di kalangan peniaga kecil, terutamanya peniaga bumiputra kurang memberi perhatian terhadap kepentingan strategi dalam perniagaan mereka.

Mereka lebih mempercayai pendapat yang menyatakan bahawa untuk berjaya dalam   apa jua perniagaan, hanya memerlukan idea yang  bernas, tahap keyakinan diri yang tinggi dan  disusuli  oleh usaha yang berterusan.

Pada pandangan mereka, dengan berbekalkan minda yang positif dan keyakinan yang tinggi, segala halangan dan cabaran yang timbul dalam menguruskan sesebuah perniagaan itu akan dapat diatasi dengan mudah.  Dengan mempunyai minda yang positif juga mereka percaya  bahawa mereka akan dapat menarik lebih banyak lagi perkara-perkara positif supaya berlaku di dalam hidup mereka.

Malah ada juga di kalangan peniaga kecil ini mengharapkan supaya sesuatu 'keajaiban'  akan berlaku dalam perniagaan mereka hanya kerana mereka mempunyai fikiran yang positif.  Mereka amat percaya bahawa jika mereka sentiasa berada dalam suasana yang positif, kejayaan akan menghampiri mereka tanpa disangka-sangka.

Sebenarnya, pendapat atau pegangan sebegini adalah silap sama sekali. Walaupun anda mempunyai idea yang bagus, mampu mengawal minda supaya sentiasa berada dalam suasana yang positif dan dikelilingi pula oleh rakan-rakan yang positif yang senantiasa  memberi semangat  dan tenaga 'super tambahan', namun ia masih belum menjamin untuk anda berjaya dalam perniagaan yang anda usahakan

Walaupun minda positif akan menarik banyak perkara postif ke dalam hidup anda tetapi ia hanyalah secara kebetulan sahaja. Dengan menjaga emosi sahaja tanpa membuat apa-apa perancangan yang sistematik bagaimana untuk anda mencapai obejektif yang ditetapkan, ia hanyalah sekadar satu angan-angan kosong atau 'day dreaming' sahaja ( Michelson & Michelson.,2010).

Bergantung kepada minda  positif semata-amata tanpa membuat perancangan yang sistematik sewaktu anda  ingin membuat sesuatu tindakan adalah amat berisiko. Ia adalah seumpama anda  berhasrat untuk  menyeberang sebatang sungai yang dipenuhi oleh buaya ganas tanpa menggunakan sebarang peralatan seperti perahu atau sampan.  

Dengan berbekalkan kepada kepercayaan dan fikiran yang positf  itu anda  pun terjun dan berenang di dalam sungai tersebut  tanpa mempedulikan akan bahaya yang bakal ditempuh. Hasilnya, anda bukan saja tidak sampai ke seberang dengan selamat tetapi jasad anda juga telah lenyap dibaham oleh sang buaya. 

Dalam situasi ini, anda tak ubah seperti seorang 'penjudi nasib'. Hanya bertindak mengikut gerak hati tanpa menilai risiko yang bakal dihadapi. Terperangkap dengan konsep 'Law of Attraction' yang sering dipromosikan oleh kebanyakan pakar motivasi dari negara Barat.

Mengikut teori  'law of attraction' , 'apa yang  difikirkan oleh individu itu  merupakan satu harapan atau doa dan jika ia difikirkan secara bersungguh-sungguh, diucapkan dengan penuh harapan dan disusuli oleh imiginasi yang berterusan, satu hari nanti 'harapan' atau 'doa' tersebut akan menjadi kenyataan.  

Pengamal hukum 'law of attraction' ini percaya bahawa dengan 'berimiginasi' secara sistematik dan berterusan, ia akan mengaktifkan minda separa sedar kita untuk  menerima  'hajat' tersebut. Apabila kita melakukannya berulang kali, lama-kelamaan minda separa sedar kita  akan terbiasa dengan 'hajat' tersebut dan ia sedikit demi sedikit akan menarik elemen positif  untuk bertindak dan sterusnya menukar 'hajat' kita tadi mejadi satu kenyataan.

Persoalan di sini ialah, adakah hanya dengan mempunyai tahap keyakinan yang tinggi serta kemampuan  untuk 'berimiginasi' sahaja mampu untuk mengubah diri kita dari keadaan sekarang kepada suasana yang lebih baik? Adakah kejayaan yang dinikmati oleh Tan Sri Mokhtar Al Bukhari, Tan Sri Mustapha Kamal mahupun Tony Fernandez  itu disebabkan oleh fikiran positif dan keupayaan mereka berimiginasi semata-mata? 

Cuba cari buku-buku berkenaan tokoh-tokoh ini dan buat kajian anda sendiri. Bagaimana mereka boleh berada di tahap seperti sekarang. Malah, ada beberapa pengkaji telah mengkritik teori 'law of attraction' ini dan berjaya membuktikan bahawa teori tersebut tidak berkesan untuk mengubah kehidupan seseorang  sekiranya tidak disusuli oleh perancangan dan tindakan yang sistematik .

Anda boleh untuk berimiginasi tentang apa yang ingin dicapai tetapi anda tidak boleh berhenti setakat itu sahaja. Anda perlu merancang dan bertindak bukannya sekadar bermimpi dan mengharap ( Wright.,2009 Mason.,2015 &, Rappoport.,2015).

Kejayaan tokoh-tokoh korporat yang disebutkan tadi adalah disebabkan oleh kebijaksanaan mereka membuat perancangan bukannya kerana kebolehan mereka untuk berimaginasi semata-mata. Mereka percaya bahawa untuk berjaya perlu kepada satu perancangan dan tindakan yang sistematik bukan hanya bergantung kepada nasib. Oleh itu mereka akan merancang terlebih dahulu sebelum memulakan satu-satu projek bisness. Mereka akan membuat kajian secara menyeluruh dahulu tentang pasaran yang akan dimasuki, mengupul data yang berkaitan, membuat pelan tindakan dan bertindak mengikut pelan yang telah dirancang ituBarulah kejayaan yang diharapkan itu menjadi kenyataan.

Begitu juga untuk menang di dalam satu-satu peperangan yang bakal disertai. 'Sebelum seseorang general itu membuat keputusan untuk melancarkan peperangan, beliau  hendaklah  membuat perancangan terlebih dahuluWalaupun beliau adalah seorang general yang cekap dan mempunyai bilangan tentera yang ramai, namun beliau tetap perlu membuat persediaan. 
Beliau memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk  membuat benteng pertahanan dan tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan lagi untuk melatih tentera dan menyiapkan peralatan perang. Setelah semuanya lengkap dan  beliau yakin bahawa kejayaan bakal berpihak kepadanya, barulah jeneral tersebut akan menggerakkan tentera di bawah pimpinannya bergerak ke medan pertempuran untuk berhadapan dengan  musuh ' (Sun Tzu.,514 SM).


Dari sejarah peperangan yang diketuai oleh Sun Tzu ini, ia menunjukkan bahawa  perancangan sistematik dan berstrategi merupakan faktor penting dalam menentukan  kemenangan sesebuah pasukan tentera di medan perang. Walaupun pasukan tentera itu dilengkapi oleh senjata yang canggih serta mempunyai bilangan askar yang ramai, tetapi sekiranya general yang memimpin pasukan itu  tidak  pandai membuat perancangan dan menyerang kubu musuh tanpa menggunakan strategi tertentu, kemungkinan untuk beliau menang dalam peperangan tersebut adalah tipis. Tambahan pula jika kubu musuh itu dilengkapi dengan sistem pertahanan yang kukuh. 

Begitu juga dalam dunia perniagaan. Seandainya pengurus sesebuah syarikat itu tidak mempunyai kemahiran dalam membuat  perancangan dan keputusan, tetapi hanya bergantung kepada nasib dan pemikiran yang positif semata-mata, perniagaan yang beliau jalankan itu tidak akan  bertahan lama. 

Sekadar hanya mampu 'berimaginasi' dan kemudiannya berharap kepada keajaiban  minda separa sedar untuk bekerja bagi pihak anda  tetapi dalam masa yang sama anda tidak tahu bagaimana untuk membuat perancangan secara sistematik, kejayaan yang diharapkan itu tidak akan dicapai

Malah anda akan gagal di pertengahan jalan lagi!  Ia bersesuaian dengan pepatah inggeris yang berbunyi,'' if fail to plan, you are planning to fail''.

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi di entri yang akan datang. 


No comments:

Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...