Saturday 12 March 2016

Kepentingan memantau persekitaran perniagaan.

Entri: 28
Teks: Usry Abdullah
Image: Google image





Kajian terhadap  persekitaran perniagaan ini dinamakan proses mengimbas persekitaran.  Proses ini merupakan langkah kedua dalam proses membuat dan merangka strategi (Hashim.,2008 dan Barksdale & Lund.,2008). 

Katakan anda sudah mempunyai modal yang cukup untuk memulakan perniagaan dan anda juga telah mengenal pasti apa perniagaan yang bakal dibuka , lalu anda pun bersiap sedia untuk membuat pelan perniagaan dan pemasaran.

Namun, sebelum anda membuat pelan perniagaan, satu lagi aktiviti perlu dilakukan terlebih dahulu, iaitu aktiviti memantau persekitaran.

Aktiviti memantau persekitaran ini adalah penting kerana segala maklumat yang diperolehi dari aktiviti  inilah yang akan diguna untuk anda membuat pelan pemasaran dan menentukan  jenis strategi yang bakal dipraktiskan  di dalam perniagaan anda nanti.


Aktiviti memantau persekitaran ini juga penting kepada peniaga yang sedang beroperasi. Mengikut Gamble, Thompson dan Peteraf,(2010), proses menilai atau memantau persekitaran  penting buat mereka kerana aktiviti ini  akan membantu mereka menilai prestasi perniagaan yang sedang dijalankan. Ia membantu mereka menjawab dua persoalan utama iaitu  “Di mana kita  berada sekarang? Dan “Bagaimana untuk kita mencapainya?” 


Persoalan ‘Di mana kita berada sekarang?’ bermaksud usahawan tersebut perlu mengkaji di mana kedudukan perniagaan beliau dalam pasaran itu pada masa ini. Adakah perniagaan beliau sudah mencapai objektif  yang ditetapkan atau sebaliknya Adakah perniagaan beliau  memperolehi keuntungan seperti yang diharapkan ataupun tidak 

Untuk menjawab persoalan-persoalan itu, beberapa  indikator perlu diperhatikan iaitu;

  1.   Adakah perniagaan beliau dikenali ramai ?
  2.   Adakah pelanggan tetap masih mengunjungi perniagaan beliau ?
  3.  Bagaimana dengan prestasi jualan produk atau perkhidmatan, Adakah ia  semakin meningkat atau menurun? 
  4. Adakah produk atau perkhidmatan yang beliau sediakan sekarang dapat memenuhi keinginan pelanggan?
  5.  Adakah produk atau perkhidmatan yang beliau tawarkan itu  dapat membantu menyelesaikan masalah  pelanggan? 
  6.  Dan akhir sekali adakah perubahan persekitaran sekarang mengganggu perjalanan perniagan beliau?

Jika jawapan yang diperolehi dari soalan-soalan tersebut mengatakan 'Ya', ini menunjukkan bahawa perniagaan beliau  berada di landasan yang betul.

Perniagaan yang beliau usahakan dan keadaan 'persekitaran semasa' adalah selari atau 'fit' di antara satu sama lain dan beliau bakal mendapat keuntungan secara berterusan dari perniagaan yang diusahakan itu. Tetapi  jika jawapan yang diperolehi adalah sebaliknya, ia memerlukan usahawan tersebut membuat perubahan. Sama ada  dengan menukar strategi atau taktik yang beliau praktiskan sekarang ataupun membuat perubahan ke atas barisan produk atau model perniagaan. 

Ini menunjukkan bahawa perniagaan beliau  sudah tidak mengikut perkembangan semasa. Jika beliau lambat bertindak, kemungkinan  untuk perniagaan beliau mengalami kerugian adalah tinggi malah jika dibiarkan perkara ini berterusan,  perniagaan beliau bakal ditutup.


Keadaan ini terjadi kerana semua organisasi atau perniagaan akan sentiasa berinteraksi dengan keadaan persekitarannya dan keadaan  persekitaran pula sentiasa berubah dari masa ke semasa akibat dari perubahan faktor tertentu. Ada perubahan yang memberi kesan positif ( berupa peluang) dan ada perubahan yang kesan negatif (berupa ancaman) kepada perniagaan yang dijalankan. 



Contohnya, kesan dari perlaksanaaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta keputusan kerajaan untuk menaikkan harga bahan api dan tariff elektrik yang dilaksanakan pada tahun 2015 yang lalu. 

Keputusan kerajaan ini telah memberi kesan langsung kepada pengguna kerana majoriti pengguna adalah bergaji tetap. Kesan dari langkah kerajaan memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan serta menaikkan tarif elektrik  ini menyebabkan pengguna terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk menampung kos sara hidup mereka

Untuk meneruskan kesinambungan hidup, pengguna terpaksa mengurangkan pembelian ke atas produk atau perkhidmatan tertentu. Atau dengan kata lain, mereka terpaksa berjimat ketika berbelanja. Jika sebelum ini mereka suka membeli barangan yang berjenama, kini mereka hanya membeli produk biasa-biasa saja untuk kegunaan harian. Jika sebelum ini mereka sering membawa keluarga makan di luar, sekarang mereka terpaksa memasak makanan mereka sendiri di rumah. Malah ada juga di kalangan mereka yang membawa bekal ke tempat kerja. 

Perubahan tabiat pengguna ini telah menyebabkan peniaga yang menjalankan perniagaan makanan menerima impaknya di mana aktiviti jual beli mereka semakin berkurang berbanding sebelum ini.

Begitu juga dengan trend pembelian barangan keperluan lain seperti pakaian, perabut, peralatan elektrik dan telefon bimbit. Pengguna juga telah menghadkan pembelian ke atas barang-barang tersebut dan memakai atau menggunakan apa yang ada saja. Mereka tidak lagi kerap menukar telefon bimbit mengikut trend semasa. Malah  ada sesetengah pengguna yang beralih kepada jenama telefon yang lebih murah.

Perubahan trend pengguna ini  akan memberi kesan bukan saja kepada jualan syarikat anda malah kepada peniaga-peniaga lain juga. Masing-masing terpaksa bersaing dengan lebih hebat lagi untuk mengekal dan menarik pelanggan supaya berkunjung ke kedai mereka.  

Katakan anda adalah seorang penjual eksesori dan telefon bimbit. Jika sebelum berlakunya perubahan ke atas trend atau tabiat pengguna ini, kedai anda banyak menjual telefon dan aksesori yang berjenama mahal seperti iphone, Samsung dan Sony Ericsson tetapi apabila  berlakunya perubahan ke atas trend pembelian pengguna ini, jualan di kedai anda juga mungkin akan mengalami kemerosotan seperti yang dialami oleh peniaga telefon yang lain. 

Jadi, untuk memastikan  perniagaan anda terus kekal dan tidak kehilangan pelanggan, anda mesti berbuat sesuatu. Anda juga terpaksa mengikut perubahan trend pengguna ini sama ada dengan mengubah barisan produk yang dijual atau mengubah strategi perniagaan anda.

Untuk mengikut perubahan trend semasa, sekarang anda mungkin terpaksa  menghentikan penjualan telefon yang berjenama mahal tadi dan mula mengenal pasti beberapa jenama telefon murah  seperti Ninetology, Asus atau Lenovo untuk dijual di kedai anda.

Ini adalah  kerana jenama-jenama ini mula menjadi pilihan di kalangan pengguna sewaktu berlakunya kemelesetan ekonomi.  Sekiranya anda enggan membuat pengubahsuaian terhadap produk telefon yang anda jual serta enggan mengikut perubahan dan trend semasa dan masih lagi bertahan dengan menjual produk berjenama mahal seperti sebelum ini, dalam beberapa bulan sahaja perniagaan anda akan menjadi ketinggalan berbanding peniaga telefon bimbit yang lain. Seterusnya secara perlahan-lahan perniagaan anda tadi akan terkeluar dari pasaran kerana perniagaan anda tidak lagi releven di mata pengguna.
Begitu juga kepada anda yang menjalankan perniagaan selain dari perniagaan telefon bimbit.  Perubahan-perubahan ke atas faktor persekitaran juga turut memberi kesan kepada perniagaan anda, bergantung kepada jenis perniagaan yang anda jalankan. Oleh itu, untuk memastikan perniagaan anda sentiasa berada di landasan yang betul dan dapat mengekalkan daya saing, anda dinasihatkan  supaya membuat pengubahsuaian perniagaan anda mengikut perubahan persekitaran sekiranya perlu.




Kesimpulan dari perbincangan  kali ini ialah, strategi perniagaan yang dipraktiskan oleh anda membantu  anda mencapai matlamat yang diingini, namun keberkesanan sesebuah strategi yang dipraktiskan itu  adalah bergantung kepada pesekitaran industri yang anda ceburi. 
   
Dengan membuat pemantauan ke atas persekitaran, anda akan tahu di mana perniagaan anda berada sekarang. Adakah perniagan anda itu berdaya saing atau sebaliknya. Di samping itu kepada bakal usahawan pula, proses membuat pemantauan persekitaran perniagaan ini akan membantu anda untuk membuat  pelan perniagaan dan menentukan apa strategi yang bakal anda praktiskan nanti.


No comments:

Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...