Friday, 15 April 2016

Kepentingan memantau persekitaran (siri 5)



Entri: 32

Teks: Usry Abdullah

Image: Google Image


Bertemu kembali dalam perbincangan berkenaan strategi dan pengurusan perniagaan. Perbincangan kita masih lagi tertumpu kepada kepentingan membuat pemantauan persekitaran perniagaan. 
Saya begitu menekankan akan aktiviti membuat pemantauan persekitaran ini kerana aktiviti ini adalah  asas kepada setiap tindakan yang bakal dilakukan.  Setiap maklumat yang diperolehi dari aktiviti ini akan diproses dan ditafsir sebelum keputusan diambil bagi menentukan  apa bentuk tindakan  yang patut dilakukan.

Di dalam peperangan, keadaan muka bumi sesebuah medan pertempuran juga adalah salah satu faktor yang akan mempengaruhi kelancaran pergerakan sesebuah pasukan tentera ketika menyerang atau menghadapi musuh. Sebarang kesilapan general yang memimpin pasukan dalam membuat penilaian terhadap keadaan muka bumi  medan pertempuran boleh menyebabkan berlakunya kesilapan dalam memberi arahan kepada tenteranya. Ini seterusnya boleh mempengaruhi kejayaan atau kemenangan kepada tentera beliau.

Sun Tzu telah mengenal pasti enam keadaan bentuk muka bumi medan pertempuran dan seterusnya  mengariskan  enam strategi yang bersesuaian mengikut bentuk muka bumi tersebut yang perlu diikuti oleh general yang memimpin  pasukan tentera bagi menjamin kemenangan pasukan pimpinan beliau. Seandainya general tersebut mengikut saranan yang dinyatakan oleh Sun Tzu ini, kebarangkalian untuk pasukan beliau menang adalah tinggi. Begitu juga sebaliknya.
Pernyataan ini menunjukkan bahawa di samping mempunyai kekuatan tentera yang ramai, kebijaksanaan general dalam melaksanakan strategi peperangan mengikut keadaan muka bumi medan pertempuran juga boleh mempengaruhi kemenangan sesebuah pasukan tentera. Sekiranya beliau tersilap membuat pentafsiran dan mempraktiskan strategi peperangan yang tidak sesuai dengan keadaan muka bumi medan pertempuran, kebarangkalian untuk pasukan beliau mengalami kekalahan adalah tinggi.

Demikian juga dalam dunia perniagaan. Persekitaran perniagaan ini boleh disamakan atau diibaratkan seperti bentuk muka bumi medan pertempuran. Sebarang perubahan dalam persekitaran perniagaan ini akan mempengaruhi kelancaran dan kestabilan perniagaan yang sedang anda usahakan. Oleh itu,  ia  memerlukan usahawan tersebut cekap  dalam mengesan perubahan yang berlaku dalam persekitaran perniagaan beiau dan bijak bertindak untuk menyesuaikan perniagaan beliau mengikut perubahan persekitaran tersebut. Barulah perniagaan yang diusahakan itu sentiasa berdaya saing. 
 

Seperti yang dibincangkan dalam entri-entri  terdahulu, terdapat tiga kategori atau lapisan persekitaran perniagaan yang boleh mempengaruhi kestabilan perniagaan anda. Lapisan atau kategori tersebut ialah perseitaran dalaman, persekitaran industri dan persekitaran am. Tak kira sama ada perniagaan anda bertaraf korporat atau pun  perniagaan kecil-kecilan. Sama ada perniagaan anda diusahakan secara sepenuh masa ataupun secara sambilan. Malah jika anda menjalankan perniagaan secara 'on line' pun anda tetap juga beroperasi di dalam tiga persekitaran ini. Malah persekitaran perniagaan anda lebih kompleks berbanding perniagaan yang diusahakan secara konvensional.  Cuma kesannya saja yang berbeza mengikut jenis perniagaan yang diusahakan dan apa faktor persekitaran yang telah berubah. 
Contohnya ialah seperti berlakunya perubahan dalam polisi kerajaan seperti keputusan kerajaan untuk menghapuskan subsidi tepung gandum bermula bulan Mac 2016 yang lalu. Keputusan kerajaan ini telah memberi kesan kepada perniagaan yang menggunakan tepung gandum sebagai bahan asas dalam perniagaan mereka seperti perniagaan membuat roti, menjual roti canai, dan juga perniagaan menjual kuih-muih.  Oleh itu, sekiranya anda adalah salah seorang peniaga roti canai, sudah pasti dalam tempoh 1 atau 2 bulan akan datang perniagaan anda juga akan menerima kesannya.

Penghapusan subsidi ini akan menyebabkan harga tepung gandum yang anda beli dari pembekal akan naik harganya. Kenaikan harga ini  akan menyebabkan kos membuat roti canai atau kuih akan meningkat dan seterusnya menjejaskan keuntungan yang anda perolehi nanti.  Oleh itu, anda perlu membuat perubahan tertentu agar  margin keuntungan yang diperolehi selama ini tidak terjejas. Anda boleh mengambil langkah sama ada dengan menaikkan harga roti canai yang dijual atau anda boleh mengecilkan sedikit  saiz roti canai tersebut. Dengan melakukan salah satu tindakan ini, margin keuntungan yang anda nikmati sebelum ini tidak terjejas.

Walaubagaimana pun tindakan penghapusan subsidi tepung gandum ini tidak akan memberi apa-apa kesan kepada perniagaan lain seperti perniagaan menjual menjual nasi lemak atau menjual nasi kerabu  walaupun gerai mereka beroperasi di sebelah gerai roti canai anda. Perubahan tersebut tidak ada kena mengena dengan perniagaan mereka. Oleh itu mereka yang menjalankan perniagaan menjual nasi lemak atau nasi kerabu tadi tidak perlu membuat apa-apa perubahan atau sebarang respond. Mereka masih boleh meneruskan aktiviti perniagaan mereka seperti biasa.

Dari perbincangan kali ini dapat katakan bahawa, jika bentuk muka bumi medan pertempuran akan mempengaruhi kelancaran pergerakan sesebuah pasukan tentera dan  memerlukan kebijaksanaan jeneral  untuk membuat penilaian sebelum melaksanakan strategi yang sesuai, begitu juga halnya dengan dunia perniagaan. Persekitaran perniagaan akan mempengaruhi kelancaran perniagaan anda. 
Persekitaran perniagaan ini sentiasa terdedah kepada perubahan. Oleh itu sebagai seorang usahawan, anda perlu cekap mengesan dan membuat pentafsiran terhadap perubahan persekitaran yang berlaku dan seterusnya bertindak menyesuaikan perniagaan anda mengikut perubahan tersebut untuk menjamin kestabilan dan daya saing perniagaan anda. 
Perubahan ke atas faktor persekitaran  ini memberi kesan yang berbeza kepada sesebuah perniagaan yang berlainan seperti yang dibincangkan tadi. Ia bergantung kepada 'faktor apa' yang berubah dan jenis 'perniagaan apa' yang anda usahakan. Ada perniagaan yang menerima kesan negatif  akibat dari perubahan persekitaran tadi dan ada juga perniagaan yang tidak menerima apa-apa kesan dari perubahan persekitaran tersebut. Bagi perniagaan yang menerima kesan negatif akibat dari perubahan persekitaran, ia merupakan ancaman kepada mereka. Oleh itu pemilik perniagaan tersebut perlu berbuat sesuatu untuk menjaga kestabilan perniagaan beliau. Beberapa langkah bagaimana untuk menghadapi kesan negatif ini boleh dibaca di dalam buku Jom Bisnes!. Langkah-langkah yang boleh difikirkan oleh anda ada diterangkan di dalam buku tersebut.  
Manakala bagi perniagaan yang tidak menerima kesan pula, ia boleh dianggap sebagai satu peluang atau kesan neutral sahaja kepada perniagaan mereka. Jika anda menganggap perubahan tersebut sebagai 'peluang', anda perlu cepat bertindak untuk merebut peluang tersebut. Jadikan perubahan itu sebagai satu peluang untuk anda meningkatkan julalan dan penguasaan pasaran. Jika anda menganggap perubahan itu tidak memberi apa-apa kesan kepada perniagaan anda, anda boleh meneruskan aktiviti perniagaan anda seperti biasa tanpa perlu berbuat apa-apa.
Kemahiran anda untuk mengesan, membuat analisis dan mentafsir sebarang perubahan  yang berlaku ke  atas persekitaran  dan  kebijaksanaan bertindak dalam menyesuaikan perniagaan anda mengikut perubahan tersebut akan menjamin daya saing dan kelangsungan perniagaan yang anda jalankan. Sekiranya anda lambat mengesan perubahan  dan lambat pula bertidak untuk membuat penyesuaian, perniagaan yang diusahakan itu sedikit sebanyak akan terjejas. Jika keadaan ini berterusan, lama kelamaan perniagaan anda akan mengalami kerugian. 

Sunday, 3 April 2016

Kepentingan memantau persekitaran (siri 4)



Entri: 31

Teks: usry Abdullah

Foto: Google Image




Membuat pemantauan ke atas persekitaran merupakan salah satu dari aktiviti dalam pengurusan perniagaan dan proses memantau persekitaran  ini adalah  langkah ke dua dalam pengurusan strategi. 
Maklumat yang diperolehi dari aktiviti membuat pemantauan persekitaran ini akan digunakan oleh usahawan untuk membuat perancangan selanjutnya, seperti apa jenis strategi yang akan diguna pakai  dalam perniagaan beliau dan bagaimana model atau pelan perniagaan beliau nanti. 
Manakala kepada mereka yang bakal bergelar usahawan yang ingin membuka perniagaan sendiri pula, aktiviti pemantauan persekitaran ini akan membantu mereka menjawab sama ada perniagaan yang bakal  dibuka nanti mempunyai peluang untuk berjaya atau sebaliknya. Adakah perniagaan beliau nanti mampu untuk bersaing dengan peniaga lain yang turut sama berada dalam pasaran atau kawasan tersebut.

Sebagaimana yang ditulis dalam entri lepas,  persekitaran perniagaan ini boleh dibahagikan kepada tiga kategori atau lapisan utama iaitu persekitaran dalaman, persekitaran industri (persekitaran mikro) dan persekitaran am (persekitaran makro). 

Persekitaran dalaman 
Persekitaran dalaman adalah persekitaran yang paling rapat dengan anda, iaitu persekitaran atau keadaan syarikat atau apa yang syarikat anda  ada/miliki, seperti bilangan pekerja, jumlah modal, keunikan produk atau perkhidmatan yang  ditawarkan dan semangat serta sifat semulajadi yang dimiliki sama ada anda mempnyai sifat keusahawanan atau pun tidak.
Dengan mengumpul dan menyenaraikan maklumat-maklumat tadi, kita akan dapat mengetahui apa kelebihan (Strength) yang anda miliki dan apa kekurangan (Weaknesess) yang perlu diperbaiki. 
Di samping itu juga,  sebarang perubahan yang berlaku dalam persekitaran dalaman syarikat ini akan memberi kesan yang 'serta merta' kepada kelancaran operasi perniagaan sebagaimana yang dibincangkan dalam entri yang lepas. Oleh itu anda perlu segera bertindak memperbaiki atau membuat perubahan.
Manakala kepada bakal usahawan pula, persekitaran dalaman ini akan menentukan sama ada anda mampu untuk bersaing dengan peniaga lain yang beroperasi di dalam pasaran tersebut atau tidak. Malah persekitaran dalaman ini juga akan memberi anda maklumat tentang apa strategi yang sesuai untuk anda praktiskan dan macam mana bentuk pelan perniagaan anda nanti.
 
Persekitaran mikro/ persekitaran industri.
Persekitaran mikro ini juga dikenali sebagai persekitaran industri.  Persekitaran ini adalah persekitaran yang berada di luar syarikat kita. Ia berkaitan dengan industri yang diceburi dan  boleh diibaratkan seperti persekitaran sebuah pekan tempat perniagaan kita beroperasi.
Contohnya anda membuka gerai menjual ayam goreng di hadapan stesyen bas pekan tempat anda tinggal. Dalam kes ini, apa-apa elemen yang terdapat di dalam pekan/bandar tersebut merupakan persekitaran industri anda dan ia perlu diberi perhatian. Di kawasan perumahan yang terletak berhampiran pekan itulah tempat tinggalnya pelanggan anda. Di pekan itu juga ada pesaing anda yang turut sama menjual ayam goreng dan di pekan itu juga mungkin letaknya kilang yang membekal ayam dan kilang tepung.  Yang akhir sekali, mungkin di pekan itu juga terdapat pejabat pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen perniagaan kepada anda. 
Oleh itu, sebarang perubahan yang berlaku dalam elemen-elemen tadi (pelanggan, pembekal, pesaing dan pihak berkuasa tempatan) akan  mempengaruhi perniagaan menjual ayam goreng yang anda usahakan itu. Ia boleh memberi kesan positif ataupun kesan negatif kepada perniagaan anda. Oleh itu anda perlu membuat keputusan seberapa segera yang boleh untuk memastikan perniagaan anda tidak terjejas.  
Contohnya seperti situasi berikut
Disebabkan oleh kenaikan kadar inflasi  serta peningkatan kos sara hidup yang berterusan sejak kebelakangan ini telah menyebabkan pendapatan boleh guna penduduk di pekan tempat anda  menjalankan perniagaan itu semakin kecil. Kuasa beli mereka juga semakin menurun. Untuk meneruskan kesinambungan hidup, mereka mula mengambil langkah berjimat dan berhati-hati ketika berbelanja. 
Kesan dari langkah penjimatan yang diambil oleh penduduk-penduduk ini telah memberi kesan kepada perniagaan ayam goreng anda. Jika sebelum ini anda mampu menjual sebanyak 180 ketul ayam goreng sehari (180 ketul bersamaan 20 ekor ayam), sekarang jualan anda telah merosot kepada 130 ketul sehari. Jika di pertengahan bulan, jualan ayam goreng anda semakin merosot dan anda mampu menjual sekitar 80-100 ketul ayam goreng sahaja. Sekiranya anda gagal mengesan punca mengapa terjadinya perubahan ini dan tidak membuat tindakan untuk menyesuaikannya, tidak mustahil dalam tempoh yang singkat saja, perniagaan anda akan mengalami kerugian. Oleh itu anda perlu bertindak. 
Antara langkah yang boleh diambil ketika menghadapi situasi begini ialah dengan mempraktiskan ‘strategi cantasan’ (strategi ini boleh dibaca di dalam buku Jom Bisnes!).  Di samping itu, langkah  lain yang boleh diambil oleh anda, ialah dengan memperbanyakkan lagi aktiviti promosi berbanding sebelum ini dengan tujuan untuk memperkenalkan semula atau mengingatkan penduduk di pekan tersebut tentang kewujudan perniagaan ayam goreng anda. Inilah contoh yang menunjukkan persekitaran mikro mempengaruhi kesinambungan perniagaan yang anda jalankan.

Persekitaran am/ persekitaran makro.
Persekitaran perniagaan yang terakhir yang telah dibincangkan dalam entri yang lalu ialah persekitaran am atau persekitaran makro. Persekitaran am ini boleh diumpamakan atau diibaratkan seperti persekitaran dalam sesebuah negara. Elemen yang perlu diberi perhatian dalam persekitaran am ini ialah tahap ekonomi negara, perubahan dan pergolakan politik semasa, perubahan dasar kerajaan dan kemajuan teknologi. Perubahan dalam persekitaran am ini biasanya akan memberi kesan yang lambat kepada perniagaan anda. Mungkin 4-5 bulan selepas berlakunya perubahan ke atas elemen-elemen tersebut (perubahan ekonomi, politik, sosial, teknologi dan dasar kerajaan)  barulah perniagaan anda mula merasai kesannya. 
Contoh yang paling mudah untuk menghuraikan kesan perubahan persekitaran am dan kesannya kepada perniagaan anda ialah  kesan perlaksanaan GST yang dilaksanakan oleh kerajaan pada tahun 2015 yang laluKesan perlaksanaan GST ini tidak dirasai serta merta kepada pengguna. Selepas beberapa bulan (dalam 5-6 bulan) barulah pengguna mula merasa akan kesannya. Barulah mereka sedar bahawa perlaksanaan GST ini telah menyebabkan kos sara hidup menjadi tinggi dan barangan menjadi lebih mahal berbanding sebelum perlaksanaan GST dahulu.
Begitu juga kesannya kepada anda sebagai  seorang peniaga. Kesan yang jelas ialah  perniagaan anda mula merosot jualannya disebabkan oleh kuasa beli pengguna yang semakin menurun. Jika anda tidak memantau atau menyedari akan perubahan yang berlaku ke atas persekitaran am ini, anda mungkin tidak dapat memahami mengapa secara tiba- tiba perniagaan anda menjadi perlahan. Namun jika anda rajin memerhati perubahan-perubahan tersebut, anda akan mendapat jawapan ke atas apa yang terjadi. d sinilah pentingnya anda memantau perubahan persekitaran ini bagi mendapat kepastian dan bersedia untuk membuat perancangan bagi mengahadapinya.   Situasi yang dibincangkan tadi adalah antara contoh yang menunjukkan bagaimana perubahan persekitaran am atau persekitaran makro juga boleh mempengaruhi kelancaran perniagaan anda. Oleh itu anda juga disarankan untuk memantau perubahan persekitaran am ini walaupun kesan dari perubahan persekitaran am ini adalah lambat. Dengan memantau perubahan persekitaran am ini, sekurang-kurangnya anda ada masa untuk bersedia dan mencari jalan bagaimana untuk menghadapinya nanti supaya kelangsungan perniagaan anda tidak terjejas. 
Lagi satu contoh yang menunjukkan kesan persekitaran am ini boleh mempengaruhi perniagaan anda ialah kesan akibat dari perubahan cuaca  yang semakin hangat  dan kering yang melanda negara semenjak beberapa bulan kebelakangan ini. Perubahan cuaca ini juga akan memberi kesan kepada perniagaan anda terutamanya kepada peniaga yang menjual minuman, buah-buahan dan sayur-sayuran. Jika anda membaca akhbar dan mendapati pihak Jabatan metiorologi menjangkakan yang keadaan panas melampau seperti ini mungkin akan berterusan untuk tempoh 2-3 bulan lagi,  ini merupakan 'berita gembira' buat anda yang menjalankan perniagaan air minum. Perniagaan anda bakal meletup dan berpeluang  membuat keuntungan yang lebih. Oleh itu anda boleh merancang untuk menambah stok produk minuman anda untuk dijual kepada orang ramai nanti ataupun mungkin inilah peluang untuk anda memperkenalkan jenama baru minuman anda di pasaran. Tetapi sebaliknya ia akan memberi kesan negatif kepada anda yang menjalankan perniagaan menjual sayur-sayuran, kerana dalam cuaca yang panas melampau ini ia akan menjejaskan pertumbuhan dan pengeluaran sayur di ladang-ladang. Kesan ini boleh menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan sayur pada 3-4 bulan akan datang. Oleh itu anda sebagai peniaga sayur perlu bersedia dengan pelan tindakan alternatif bagaimana untuk mengatasi kekurangan bekalan sayur yang dijangka akan berlaku nanti. Anda mempunyai masa 2-3 bulan untuk membuat persediaan. 
Dari perbincangan kali ini,diharap anda akan memahami dengan lebih jelas lagi apa itu persekitaran perniagaan dan bagaimana faktor-faktor persekitaran ini boleh mempengaruhi perniagaan anda supaya anda dapat membuat tindakan yang sesuai mengikut perubahan tersebut. Ada yang memerlukan anda bertindak dengan serta merta, ada yang memerlukan anda bertindak secara sederhana dan ada yang memerlukan anda memerhati dahulu sebelum bertindak.
Sebarang perubahan yang berlaku dalam persekitaran perniagaan ini juga tidak boleh dihalang atau dikawal oleh anda. Oleh itu anda perlu bertindak dengan menyesuaikan model atau strategi perniagaan anda mengikut perubahan yang berlaku. Jika anda tetap dengan model perniagaan yang lama dan mengamalkan strategi yang sama atau  anda bersikap tidak mengendahkan akan perubahan yang berlaku, dalam jangka masa panjang perniagaan anda akan menjadi tidak releven dan sedikit demi sedikit akan terkeluar dari pasaran (tutup kedai). 
Begitu juga kepada anda yang bercadang untuk membuka perniagaan sendiri. Anda juga perlu memantau elemen-elemen persekitaran ini terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sama ada ingin memasuki pasaran atau sebaliknya. Proses  membuat pemantauan dan apa elemen-elemen yang perlu diberi perhatian serta bagaimana langkah untuk membuat analisa yang lengkap boleh dipelajari dalam buku ‘Jom Bisness!’
Jumpa lagi di entri yang akan datang.

Cabaran Ekonomi Negara untuk Suku Kedua 2017 dan Kesannya Kepada Peniaga kecil.

Untuk entri kali ini, saya ingin kongsikan dengan anda tentang jangkaan ekonomi negara bagi suku kedua tahun 2017 (Julai- Desember ...