Saturday 27 August 2016

Tindakan kecil tapi memberi kesan besar kepada perniagaan (siri 2)

Entri: 42
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google Image

Assalamualaikum dan salam sejahtera.  Alhamdulillah, nampaknya pengunjung blog ini semakin bertambah dari hari ke hari semenjak ia dimulakan pada November 2015 yang lalu.  Bila melihat pertambahan sebegini, seakan memberi semangat untuk saya meneruskan perkongsian yang seterusnya.  Semoga maklumat  yang dikongsi di dalam blog ini  dapat membantu bakal usahawan atau mereka yang sudah pun bergelar usahawan membina sebuah perniagaan yang berdaya saing.

Jika dalam perkongsian yang lepas saya mengetengahkan salah satu kesilapan kecil yang sering dilakukan oleh peniaga  tetapi boleh memberi kesan buruk kepada perniagaan mereka, untuk kali ini saya ingin membincangkan satu lagi tindakan kecil yang boleh memberi kesan  besar kepada perniagaan yang anda jalankan. Tetapi kali ini ia memberi kesan positif kepada perniagaan anda.

Sebenarnya banyak lagi kesilapan- kesilapan kecil yang biasa dilakukan oleh usahawan atau bakal usahawan, tetapi saya tidak sempat untuk berkongsi kesemuanya di dalam blog ini. Anda boleh membacanya di dalam buku Jom Bisnes! yang sudah pun berada di kedai-kedai terpilih.

Satu lagi tindakan kecil tetapi memberi kesan positif kepada perniagaan anda ialah - 'fleksible', iaitu satu keadaan di mana seseorang itu mampu menyesuaikan diri dalam apa juga  persekitaran.  

Dengan mempunyai sifat ini, seseorang usahawan itu akan menjadi mudah untuk menjalinkan hubungan dengan pelanggan dan bakal pelanggan. Di samping itu, dengan mempunyai sifat fleksible juga seseorang usahawan itu  cepat menyesuaikan perniagaan beliau dengan keadaan semasa. Tindakan ini dapat menjamin kesinambungan perniagaan anda dengan keadaan persekitaran semasa.

Seperti biasa, saya akan bercerita berdasarkan pengalaman sendiri. Peristiwa ini berlaku pada beberapa minggu  lepas di satu pesta makanan yang diberi nama pesta makanan Thai. Tujuan pesta ini dianjurkan ialah untuk mempromosikan jenis-jenis makanan dari Thailand sama ada menu yang jarang kita jumpa sehinggalah menu yang biasa kita jumpa, seperti pulut mangga, somtam dan tomyam.

Seperti juga pengunjung lain, tujuan saya sekeluarga  mengunjungi pesta makanan tersebut ialah untuk merasa menu baru yang jarang ditemui di kedai  atau restoran biasa. Jadi, pada satu petang setelah balik dari kerja dan menjemput anak-anak dari sekolah, kami sekeluarga pun pergi ke tapak jualan tersebut.

Sebagaimana yang diwar-warkan melalui banner yang dipasang di tepi-tepi jalan utama, memang banyak gerai jualan di tapak pesta itu. Kehadiran pengunjung juga amat memberangsangkan. Boleh dikatakan setiap gerai dipenuhi oleh pengunjung yang membeli belah. Tambahan pula pesta itu diadakan di awal bulan. Ketika ramai orang yang bekerja masih lagi 'bergaji'.

Apabila sampai di tapak pesta tersebut, kami mula meninjau terlebih dahulu sebelum saya dan isteri membeli nasi goreng Thai dan somtam dari salah sebuah gerai untuk dibawa balik sebagai hidangan makan malam nanti. Manakala anak-anak pula ingin mencuba  'nasi gomok'.  Satu menu yang jarang ditemui. Selepas membayar kesemua  makanan yang dibeli, kami berjalan lagi dan tiba di sebuah gerai yang menjual nasi kerabu beserta lauk pauk lain. Peniaga yang menguruskan gerai ini juga berbangsa Thai (melalui percakapan beliau dengan saya sewaktu membeli).

Walaupun nasi kerabu juga adalah menu kegemaran saya dan isteri, tapi memandangkan kami sudah mempunyai makanan untuk makan malam nanti, saya cuma melihat sepintas lalu saja lauk-lauk yang dijual digerai itu. 

Tiba-tiba saya terpadang satu menu yang biasanya boleh dijumpai di negeri kelahiran saya saja, Kelantan. Menu tersebut tak lain dan tak bukan ialah 'kerabu sare', iaitu sejenis rumpai laut yang dikeringkan dan kemudian dijadikan kerabu. Boleh dijadikan sebagai sayur dan dimakan bersama  nasi. (sepeti gambar di bawah).

Kerabu sare yang dijual digerai tersebut  diletakkan di dalam sebuah  bekas untuk memudahkan penjual mengambilnya sebelum dibungkus apabila diminta oleh pelanggan nanti. 

Saya mula menjeling ke arah besen tersebut. Sekali pandang ia seperti tidak ada tanda-tanda kerabu itu pernah diusik. Mungkin menu ini tidak mendapat perhatian masyarakat di sini. Harga  yang ditawarkan untuk kerabu sare ini tak lah mahal sangat. RM5 sebungkus. Saya kira satu harga yang berpatutan.

Di dalam kepala, saya mula berkira-kira. Jika saya membelinya sudah pasti ia akan membazir memandangkan hanya saya seorang saja yang makan kerabu sare ini. Isteri dan anak-anak memang tidak gemar masakan ini. Tambahan pula mereka tak biasa dengan menu tersebut walaupun setiap kali balik kampung di Kelantan, saya selalu mencari menu ini di pasar sehari di sana.

Oleh itu saya cuba menegur penjual yang menjual makanan tersebut untuk berbincang. Mana tahu, jika bernasib baik dapat beli sedikit pun jadilah. Tak kira la RM2 ke atau RM3 ke, saya sedia membayarnya. Janji boleh dibeli. Bukan kerana tidak berduit, tapi seperti yang saya beritahu tadi, saya takut membazir. Saya sedia untuk berkompromi dengan kuantiti  kerabu sare yang bakal diperolehi nanti. Sikit pun tak apa janji dapat melepaskan keinginan untuk merasa.

Tambahan pula jika kerabu sare ni apabila sudah digaul bersama kuahnya, kita perlu menghabiskan juga kerabu itu sewaktu  makan nanti.  Jika tidak habis dan disimpan, ia akan basi. Sekiranya ia dimasukan ke dalam tupperware untuk disimpan di dalam peti ais dan kemudiannya dipanaskan semula menggunakan 'mikrowave' pada kali kedua, rasanya juga sudah menjadi tak sesedap seperti yang mula-mula kita beli tadi.

Lalu saya pun memberanikan diri menyapa dan mula berbincang dengan pemilik gerai tersebut. Setelah menerangkan sebab-sebab mengapa saya hanya ingin membeli dengan kuantiti yang sedikit, akhirnya penjual itu bersetuju untuk menjual kerabu sare tadi seperti yang diminta. Walaupun sedikit,  saya amat berpuas hati. Rupanya perbualan kami ini  didengar dan diperhatikan oleh seorang pelanggan lain yang juga mungkin kali pertama ingin mencuba menu tersebut. Memandangkan jurujual tadi bersedia untuk berkompromi, pelanggan itu juga meminta seperti yang saya minta.

Di sini jelas menunjukkan bahawa hanya dengan satu tindakan kecil saja- iaitu fleksible, iaitu dengan bersetuju menjual produk mengikut quantiti yang diminta pembeli, jualan peniaga tadi mula mendapat perhatian. 

Jika beliau masih juga menunggu pelanggan yang sanggup membeli kerabu beliau dengan harga RM5, mungkin jualan beliau masih belum terusik. Tambahan pula  produk yang dijual itu adalah produk baru diperkenalkan. Sekiranya produk tersebut boleh dijual secara sedikit-sedikit, apa salahnya ia dijual mengikut kuantiti yang diminta oleh pelanggan asalkan tidak mendatangkan kerugian kepada kita.

Mengikut Gerald dan Steven (2010), sesebuah perniagaan perlu mempunyai strategi tertentu untuk membantu usahawan mencapai objektif. Namun begitu, sikap usahawan yang terlalu rigid atau tegas kerana ingin mematuhi pelan dan strategi yang telah dirancang pula kadang-kadang boleh membawa kepada kegagalan. 

Ada ketikanya usahawan akan mengalami situasi di mana strategi dan pelan yang dirancang itu tidak menjadi seperti yang diharapkan.  Oleh itu untuk mencapai objektif yang ditetapkan, beliau perlu berfikir secara kreatif dan fleksible serta bersedia untuk menyesuaikan strategi dan taktik mengikut keadaan semasa.

Sebagaimana senario yang saya alami tadi. Kadang-kadang ada juga di kalangan pelanggan anda yang sememangnya tidak mempunyai  wang yang cukup untuk membeli sesuatu produk yang diual, tetapi beliau amat teringin  untuk mendapatkannya. Sekiranya produk itu adalah jenis produk yang boleh dibahagi- bahagi akan kuantitinya, adalah lebih baik kita berkompromi dan bersikap fleksible. 

idak salah untuk kita mengubah sedikit peraturan yang telah dibuat selagi ia tidak memudaratkan perniagaan yang sedang kita usahakan itu. Mana tahu sekiranya pelanggan yang membeli produk tadi berpuas hati, mungkin beliau akan memberitahu pula kepada kawan-kawannya yang lain. Secara tidak langsung, ia akan membantu mempromosikan perniagaan anda.

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi di entri yang akan datang.

1 comment:

Pork Recipes said...

Nice bllog thanks for posting

Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...