Saturday, 8 October 2016

Peniaga kecil dan cabaran ekonomi semasa.

Entri: 43
Teks: Usry Abdullah
Foto: Usry Abdullah

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pengunjung blog strategi dan pemasaran.  Agak lama saya tidak membuat sebarang posting baru dalam blog ini disebabkan kesuntukan masa. Saya terpaksa menumpukan perhatian untuk mencari dan mengulangkaji bahan  bagi persiapan menulis journal yang menjadi salah satu syarat dalam pengajian saya. Tugasan menulis dan menerbitkan journal ini memerlukan saya mencari dan  membaca seberapa banyak journal yang ditulis oleh mereka yang pakar dalam bidang masing-masing untuk mencari lompang (gap) baru sebelum saya menulisnya kembali sama ada dengan menyambung kajian yang  teah mereka jalankan atau menyimpang sedikit dari kajian asal dan keluar dengan satu penemuan baru.

Memandangkan saya perlu menumpukan perhatian kepada tugasan ini, maka saya terpaksa mengurangkan aktiviti menulis entri di blog.  Keadaan ini mungkin akan berterusan sehingga Mei 2017 dan paling lama Septemer 2017. Oleh itu jika ada masa terluang, barulah saya  akan menulis di blog ini untuk berkongsi cerita dan ilmu. Mungkin sebulan sekali atau pun 3 minggu sekali. Itu pun bergantung kepada keadaan dan kestabilan emosi saya. Maklumlah, menulis in memerlukan kestabilan dalam emosi tak kira sama ada anda menulis journal akademik atau pun artikel biasa. Malah saya dengar, untuk menulis novel atau cerpen lebih mencabar lagi kerana ia memerlukan seseorang penulis itu mencari ayat-ayat puitis dan indah.  
Untuk entri kali ini saya ingin berkongsi pengalaman ke pasar malam setelah agak lama tidak mengunjunginya. Bukan tak sudi, tetapi tidak berkesempatan.

Jadi, petang Jumaat lepas, selepas mengambil angah (anak saya yang nombor dua) dari sekolah, saya mencuri peluang untuk mengunjungi pasar malam.  Teringin pula nak merasa  kerangupan rangka ayam yang digoreng. Sambil tu boleh  juga beli apa yang patut terutamanya ikan dan sedikit ulam-ulaman untuk esok. Saya memang hantu ulam.

Lebih kurang pukul 6.40pm angah pun keluar dari sekolah . Setelah beliau masuk ke dalam kereta, saya pun memandu menuju ke pasar malam yang beroperasi di satu kawasan lapang berhampiran taman perumahan bersebelahan dengan taman tempat kami tinggal. Setelah mendapat 'parking' yang sesuai, saya pun keluar dari kereta dan melangkah masuk ke kawasan pasar malam tersebut.

Kelihatan banyak gerai sudah didirikan dan  penjual juga sudah sedia menanti kedatangan pelanggan.  Namun apa yang menghairankan saya ialah suasana pasar malam agak lengang. Walaupun jam  sudah menunjukkan pukul 6.50 petang tetapi pengunjung yang mengunjugi pasar malam amat berkurangan sekali. Seolah-olah boleh dibilang dengan jari. Biasanya pada waktu begini  pekerja pejabat atau pekerja kilang sudah pun sampai dari tempat kerja  masing-masing. Jadi, kepada mereka yang tak berkesempatan untuk memasak, kebiasaannya akan singgah membeli makanan di pasar malam ini.Tetapi suasana tersebut tidak terasa. Saya agak sedikit kehairanan.

Mula terlintas di fikiran saya tentang cakap beberapa orang kawan yang menjalankan perniagaan. Kata mereka, '' Buat bisnes sekarang ni dah tak seronok macam dulu lagi. Jika dulu, semalam kita boleh dapat RM200-300, tapi sekarang ni nak dapat RM100 pun sakit. Jika nasib tak baik, penat lelah 'set up' gerai pun tak berbayar dengan apa yang kita perolehi".

Jika diimbas kembali kata-kata itu dan dibuat perbandingan dengan apa yang saya lihat di pasar malam pada hari ini, rasanya kata-kata mereka itu ada betulnya.  Golongan pengguna sudah hilang kuasa beli akibat kenaikan dalam kos sara hidup yang semakin meningkat. Gaji pekerja swasta dan pekerja kilang pun dah terlalu cepat 'keringnya' walaupun baru masuk minggu pertama bulan Oktober. Duit BRIM yang diterima pada bulan September tempohari pun mungkin sudah tidak berbaki lagi. Gaji kakitangan kerajaan juga sudah dalam keadaan 'nazak' kerana mereka menerima gaji lebih awal berbanding pekerja swasta dan pekerja kilang. Gaji mereka biasanya diterima pada minggu ke tiga setiap akhir bulan. Keadaan ini ditambah lagi  dengan kenaikan petrol pada awal bulan ini. Ini menyebabkan mereka terpaksa berjimat dan mengurangkan aktiviti mengunjungi pasar malam.

Saya mula terfikir sendiri, bolehkah  peniaga-peniaga ini meneruskan kesinambungan perniagaan yang mereka usahakan? Mampukah mereka untuk terus bertahan dalam suasana suram seperti sekarang ini? Ini adalah kerana keadaan semasa atau lebih tepat lagi keadaan ekonomi semasa juga merupakan salah satu daripada faktor yang menentukan kemajuan atau kegagalan sesebuah perniagaan. Keadaan ekonomi semasa akan mengubah cara berbelanja pengguna dan seterusnya memberi kesan kepada perniagaan yang diusahakan.

Jika diperhatikan dengan teliti, keadaan yang kita alami sekarang hampir sama dengan keadaan yang dialami tahun 2008 dahulu. Nampaknya tanda-tanda ke arah itu sudah semakin jelas. Negara kita mungkin akan mengahadapi kesan akibat dari kegawatan ekonomi dunia sekali lagi. Tambahan pula negara-negara pengeksport minyak sudah dan sedang mengalaminya sekarang ini. Jadi tidak mustahil negara kita juga bakal menghadapinya juga. Cuma cepat dengan lambat saja.

Pada tahun 2008 dahulu, keadaan kegawatan ini bermula akibat dari masalah sewa beli hartanah (spekulasi hartanah yang tak terkawal) di USA. Seterusnya menyebabkan bank terbesar mereka memohon peristiharan muflis dan ditutup. Kesan  ini kemudiannya merebak ke seluruh dunia termasuk negara kita. Ramai peniaga dan usahawan di negara kita, terutamanya dari golongan usahawan kecil dan sederhana (SMEs)  turut terjejas dan memaksa sesetengah daripada mereka menutup operasi perniagaan.

Kepada mereka yang ingin bertahan, langkah tertentu perlu diambil dengan segera. Mereka perlu membuat perubahan dan mengkaji semula model serta strategi perniagaan yang dipraktiskan agar bersesuaian dengan keadaan semasa. Kajian menunjukkan bahawa kejayaan sesebuah perniagaan itu banyak bergantung kepada kesinambungan di antara strategi yang dipraktiskan, model perniagaan dan persekitaran semasa.  Malangnya, dari penemuan  Roslan (2007), ramai peniaga kecil bumiputra yang tidak mempunyai pengetahuan tentang perkara ini. Ini adalah kerana kebanyakan peniaga kecil bumiputra tidak mahir dalam ilmu  pengurusan dan strategi. Mereka lebih suka bertindak mengikut andaian ataupun saranan dari sahabat serta 'mentor' yang mereka percayai. Kesannya, bukan saja perniagaan yang diusahakan tidak mampu menghadapi cabaran semasa, mereka menjadi salah seorang dari penyumbang kepada peningkatan dalam statistik kegagalan peniaga bumiputra di malaysia.

Di sinilah pentingnya seseorang peniaga itu mempunyai pengetahuan berkenaan pengurusan strategi. Dengan melengkapkan diri dengan pengetahuan berkenaan pengurusan strategi, seseorang peniaga itu dapat bertindak dengan lebih bijak berbanding peniaga yang hanya mengikut kata hati atau intuisi semata-mata. 

Strategi boleh di difinisikan sebagai  satu langkah atau cara bagaimana sesebuah organisasi atau entiti perniagaan itu melaksanakan pelan tindakan supaya matlamat atau objektif yang  ditetapkan dapat dicapai ( Nandakumar, Ghobadian & O'Regan.,2010). Strategi yang effektif akan memberi kelebihan persaingan kepada organisasi atau entiti perniagaan tersebut. Namun, syarat utama  untuk sesebuah strategi itu berfungsi dan membantu organisasi tersebut mencapai objektif, ia perlu seiring dengan keadaan persekitaran semasa, sama ada persekitaran dalaman dan persekitaran luaran (Thompson & Strickland.,1996). 

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi di entri akan datang.  Wassalam

6 comments:

  1. salute pada yang meniaga ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Berniaga ni ada seronok ada tak seronok. Seronok bila juaan habis dan kira keuntungan yang diperolehi. Tak seronok bila 'duit minyak' pun kadang-kadang tak lepas. Apa tah lagi duit makan minum.
      By the way, setiap kerja ada cabaran. Cuma darjah dan tahap cabarannya saja yang berbeza.

      Delete
  2. Tengok kawan-kawan bisnes seronok.
    Mrs.A tak pandai nak berbisnes tapi selalu support kalau kawan-kawan bisnes.
    Kalau dah semua orang nak jadi tukang jual siapa pulak nak jadi tukang beli?!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul. Cuma yang seronok berbisnes ni ialah duit kita tak pernah putus. setiap hari ada je masuk walaupun sedikit. Tapi penat lelah dan cabaran, hanya mereka yang mengalaminya saja yang tahu.

      Delete
  3. Sebegitu sekali tempiasnya even kepada peniaga di pasar malam yer. Itu la kadang2 saya pun bila membeli dengan peniaga kecil, niat untuk sedekah je. Semoga dia dapat cover modal atau penuhi keperluan keluarga. Tak pun bagi dia gembira sikit ada jualan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Inilah realitinya sekarang ini. Puan boleh buat pemerhatian.
      Sifat puan tu amat dihargai. Semoga puan diberkati. walaupun dua kupang kita sedekah, bagi mereka itu sudah satu rahmat. Semoga ada lagi insan-insan seperti puan.

      Delete

4 Langkah untuk membantu anda membuat jualan di media sosial

Mengikut laporan  akhbar tempatan, setiap hari semakin ramai individu yang menjalankan perniagaan sama ada secara sepenuh masa ataupu...