Tuesday 25 October 2016

Peniaga kecil dan cabaran ekonomi semasa 2 (Apa ada dalam bajet 2017)

Entri:
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google image

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pengunjung blog Strategi pemasaran dan pengurusan perniagaan. 

Sepanjang minggu ini, jika anda berkunjung ke restoran atau kedai-kedai mamak, asti kita masih dapat mendengar suara-suara atau perbincangan di kalangan pengunjung yang berborak berkenaan belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada Jumaat lepas. 

Begitu juga apabila anda menyelak halaman surat khabar sama ada surat khabar arus perdana mahu pun surat khabar  berhaluan kiri,  juga anda masih boleh membaca komentar atau artikel-artikel yang mengupas berkenaan belanjawan tahun 2017.  Malah, akhbar atas talian dan blog juga mengambil kesempatan untuk mengutarakan pendapat mereka berkenaan belanjawan dan kesannya kepada kehidupan kita untuk sepanjang tahun hadapan. Masing- masing membuat analsis mengikut pemahaman dan ideologi mereka.

Mengapa belanjawan tahunan akan menjadi topik penting kepada kita setiap kali selepas ia dibentangkan? 

Ya! ia adalah kerana belanjawan dibentangkan pada Jumaat lepas akan memberi gambaran kepada kita tentang apa yang bakal berlaku pada negara Malaysia pada tahun hadapan.  Apa perancangan pihak kerajaan untuk memastikan pertumbuhan negara kita pada tahun hadapan kekal atau bertambah maju. Dengan ini ia akan memberi ruang dan  peluang kepada rakyat untuk mereka bersedia dan merancang kehidupan mereka nanti.
Dalam entri kali ini saya  ingin menyentuh beberapa isu yang nampak 'significant' dan  mungkin dapat memberi kesan kepada  perniagaan yang anda jalankan, terutamanya kepada anda yang tergolong dalam kumpulan peniaga kecil dan sederhana (SME's). Semoga isu-isu yang disentuh dalam entri kali ini dapat memberi sedikit gambaran kepada anda  untuk  membuat persediaan  bagi menghadapi cabaran pada tahun hadapan.

Secara amnya, pertumbuhan ekonomi negara dijangka bergerak dalam jajaran yang sempit dan perlahan untuk sepanjang tahun 2017 nanti berbanding tahun 2016. Kerajaan menjangkakan pertumbuhan dalam negara kasar (KDNK) ialah di antara 4%-. 4.5% sahaja berbanding 4.5% - 5 % pada tahun 2016 yang lalu ( http://www.thestar.com.my/business/business-news/2016/10/23/banks-comments-on-2017-budget/). 

Keadaan ini adalah disebabkan oleh kelembapan ekonomi yang turut dialami oleh beberapa negara besar dunia  seperti  Amerika, Britain, negara-negara Kesatuan Eropah, Jepun dan tidak terkecuali China. Pertumbuhan ekonomi dunia yang dijangka berlaku dengan kadar perlahan ini bakal mempengaruhi eksport negara. Kadar eksport dijangka akan terjejas berbanding tahun 2016. 

Keadaan ini akan diburukkan lagi kesan dari kejatuhan harga minyak mentah dunia. Penurunan harga minyak mentah dunia yang berlaku secara berterusan ini akan menyebabkan pendapatan negara kita  turut merosot kerana Malaysia adalah salah satu  negara pengeksport minyak.

Pendapatan kerajaan dari hasil eksport minyak pasti akan berkurangan dan ini seterusnya mendorong kerajaan untuk mencari sumber pendapatan baru, sama ada dengan meningkatkan lagi beberapa cukai seperti cukai korporat, duti import ataupun dengan mengambil langkah menaikkan harga ke atas beberapa barang kawalan tertentu termasuk petrol dan disel supaya kesan dari kejatuhan harga minyak dunia tidak menjejaskan pendapatan negara.

Jika tindakan tadi dilaksanakan oleh kerajaan, ia seterusnya akan mempengaruhi operasi dan keuntungan syarikat-syarikat terlibat, terutamanya syarikat- syarikat besar yang bertaraf korporat. Contohnya, jika berlaku peningkatan ke atas cukai korporat dan kenaikan ke atas duti import, ia akan memaksa syarikat-syarikat korporat ini mengamalkan langkah penjimatan bagi mengekalkan kesinambungan perniagaan yang mereka jalankan. 

Syarikat-syarikat korporat ini terpaksa membuat perubahan ke atas strategi mereka dan biasanya strategi yang sering dilaksanakan sewaktu menghadapi situasi sebegini ialah dengan mengaktifkan  strategi cantasan (abandon strategy). Apabila strategi cantasan ini dilaksanakan, kesan yang paling ketara dan dapat dirasai serta diperhatikan ialah akan berlakunya aktiviti pembuangan pekerja. Ini adalah kerana syarikat terbabit akan mengurangkan bilangan pekerja mereka bagi menjimatkan kos pengurusan. 

Keadaan Ini seterusnya akan menyumbang kepada peningkatan dalam kadar pengagguran yang sedia ada dan seterusnya akan menyebabkan  permintaan domestik menjadi kurang.  Akhirnya ia akan memberi kesan kepada peniaga yang menjalankan perniagaan berasaskan barangan dan perkhidmatan pengguna.
  
Selain itu, kenaikan dalam cukai korporat juga akan mengurangkan margin keuntungan  syarikat-syarikat besar ini. Jadi, untuk mengekalkan margin keuntungan yang diperolehi,  syarikat-syarikat besar ini kebiasaannya akan melepaskan 'beban kenaikan cukai' tersebut kepada pelanggan mereka. 

Kesannya, harga beberapa produk yang dijual di pasaran tempatan akan naik pada tahun 2017 nanti dan seterusnya sekali lagi memberi kesan negatif kepada  keuntungan yang diperolehi oleh perniagaan peniaga kecil. Ini adalah kerana majoriti peniaga kecil merupakan pelanggan kepada syarikat-syarikat bertaraf korporat ini.    

Dalam situasi ini, peniaga kecil akan menghadapi dilema pengurusan di mana sekiranya mereka menaikkan harga barang yang dijual, dikhuatiri mereka akan kehilangan pelanggan. Manakala sekiranya mereka mengekalkan dengan harga asal, margin jeuntungan yang diperolehi pula akan berkurangan.

Begitu juga sekiranya pihak kerajaan mengambil langkah untuk menaikkan harga barang kawalan tertentu seperti petrol, gula, tepung dan minyak masak. Kesan dari kenaikan produk-produk kawalan  ini akan memberi kesan secara langsung kepada pendapatan boleh guna dan kuasa beli  pengguna. 

Kenaikan dalam harga barangan kawalan ini akan memaksa golongan pengguna mengambil langkah penjimatan dalam perbelanjaan mereka. Tindakan golongan pengguna ini sekali lagi bakal memberi impak negarif kepada kesinambungan perniagaan golongan peniaga kecil dan sederhana (SMe) kerana pelanggan mereka adalah terdiri dari golongan pengguna. Jika pengguna mengambil langkah berjimat dan berhati-hati ketika berbelanja, pendapatan atau hasil jualan golongan peniaga kecil ini bakal terjejas. 

Di samping itu, perbelanjaan ke atas emolumen yang semakin meningkat dalam sektor awam  sejak beberapa tahun kebelakangan ini juga mememerlukan kerajaan memperuntukkan lebih besar bajet kewangan. Mengikut laporan akhbar, kerajaan memerlukan sebanyak 80% daripada peruntukan belanjawan  tahun 2017 untuk dibelanjakan untuk emolumen ini. Situasi ini  sekali lagi akan menambahkan lagi beban kewangan kerajaan jika tidak diuruskan secara berhemah.  

Antara langkah yang diambil oleh pihak kerajaan untuk menampung kenaikan dalam perbelanjaan emolumen ini ialah dengan melaksanakan langkah penjimatan (The Star.,25 Oktober 2016). Menurut akhbar tersebut, beberapa pakar ekonomi menyarankan supaya kerajaan mengamalkan dasar penjimatan untuk menampung kenaikan dalam perbelanjaan emolumen ini seperti memotong peruntukan kepada kementerian-kementerian tertentu dan membekukan sementara pengambilan pekerja di dalam sektor awam. 

Jika langkah yang bakal dilaksanakan ini diambil, sudah semestinya kadar pengagguran akan meningkat sekali lagi dan  ia akan turut mengecilkan permintaan domestik ke atas barang dan perkhidmatan oleh pihak pengguna.

Penguncupan dalam perbelanjaan yang dialami oleh golongan pengguna kesan dari langkah penjimatan kerajaan dan pengangguran ini seterusnya sekali lagi dijangka akan memberi kesan kepada sektor perniagaan pada tahun 2017 nanti. Oleh itu, golongan peniaga kecil dan sederhana disarankan supaya sentiasa  membuat pemantauan dari semasa ke semasa dan bersedia untuk membuat perubahan strategi sekiranya perlu.

Manakala untuk sektor perladangan dan pertanian pula, walaupun sektor ini mendapat peruntukan sekitar  5% daripada peruntukan belanjawan, namun  disebabkan oleh fenomena el-nino yang melanda negara saban tahun, ia dijangka akan memberi kesan negatif kepada sektor ini pada tahun hadapan. 

Fenomenan el nino yang melanda negara sejak beberapa bulan yang lalu misalnya telah menyebabkan pengeluaran hasil pertanian seperti  kelapa sawit  merosot walupun harga komoditi itu telah naik dari RM300/tan  kepada Rm600/tan http://www.kppk.gov.my/mpic/index.php/en/.  Begitu juga apa yang bakal dialami oleh aktiviti penanaman lain seperti padi dan sayur-sayuran. Sektor ini juga dijangka menerima kesan negatif dari fenomena el nino ini. 

Fenomena  el nino ini dijangka menyebabkan pendapatan pengusaha kelapa sawit dan pertanian lain termasuk penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan berkurangan berbanding tahun 2016. Kesan ini  juga bakal menguncupkan perbelanjaan golongan isi rumah yang terlibat. 

Pendapatan dan kuasa beli mereka akan turut merosot. Oleh itu, sebagaimana tindakan yang diambil oleh pekerja di sektor perkilangan atau syarikat-syarikat korporat, golongan petani juga dijangka akan mengurangkan perbelanjaan ke atas produk-produk tertentu. Bergantung kepada jumlah pendapatan yang mereka perolehi. Kesan ini sekali lagi akan memberi impak negatif kepada  golongan peniaga pada tahun hadapan.

Manakala  kesan positif  yang mungkin dapat memberi sedikit harapan dan kelegaan kepada golongan peniaga  kecil dan sederhana kesan dari pembentangan belanjawan baru-baru ini ialah  janji  kerajaan untuk menaikkan kadar BRIM kepada golongan sasar seperti yang ditunjukkan dalam jadual di bawah.
Dengan adanya kenaikan dalam nilai pemberian BRIM kepada golongan sasar ini, ia secara tidak langsung  membantu meningkatkan  pendapatan boleh guna mereka untuk satu tempoh tertentu. Menurut akhbar The Star ( 23 Oktober,2016), pendapatan golongan tersebut dijangka akan meningkat kepada 7.1% pada tahun 2017 berbanding tahun 2016. 

Begitu juga pengumuman kerajaan untuk memberi bantuan e kasih kepada golongan tertentu, ia juga dapat membantu meningkatkan pendapatan boleh guna golongan ini. 

Peningkatan dalam pendapatan boleh guna kedua-dua golongan ini ( golongan penerima BRIM dan penerima e kasih)  akan memberi peluang kepada mereka untuk berbelanja lebih terutamanya untuk pembelian barangan keperluan harian seperti makanan dan keperluan asas. Kebiasaannya golongan ini lebih selesa berurus niaga atau dengan kata lain membeli barangan harian dari peniaga-peniaga kecil berbanding membeli di gedung-gedung besar atau pasaraya. Ini akan memberi sedikit kelegaan kepada golongan peniaga kecil untuk bernafas.

Sementara itu, pengumuman pelepasan cukai pendapatan sehingga RM2,500 yang diumumkan oleh kerajaan untuk individu-individu yang melanggan surat khabar, internet, buku, dan komputer juga sedikit sebanyak juga dijangka memberi kesan positif kepada pendapatan boleh guna golongan terlibat. 

Penjimatan dari pemotongan cukai pendapatan ini  seterusnya akan  memberi lebihan wang kepada mereka dan sudah semestinya mereka  akan membelanjakan lebihan wang tersebut untuk membeli keperluan harian. 

Berita ini juga memberi sedikit kelegaan kepada peniaga bahan makanan dan keperluan asas. Begitu juga kepada perniagaan akhbar, buku, majalah dan komputer. Pengumuman kerajaan ini setidak-tidanya dapat memberi sedikit kelegaan kepada industri ini yang telah sekian lama malap.

Sekian  untuk kali ini.Jumpa lagi di lain entri.
wassalam

No comments:

Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...