Saturday, 12 November 2016

Cabaran semasa dan peniaga kecil siri 3

Entri:45
Teks: usry Abdullah
Foto: google Image

Salam sejahtera kepada pengunjung blog strategi pemasaran dan pengurusan perniagaan. Semoga perniagaan yang anda jalankan bertambah maju ataupun setidak-tidaknya mampu bertahan dalam mengharungi cabaran semasa.

Dalam kita cuba menyesuaikan diri dengan suasana kelembapan ekonomi negara, baru-baru ini pengguna dan peniaga dikejutkan pula dengan beberapa siri kenaikan harga. Mulanya berlaku kenaikan harga petrol dan kemudiannya disusuli pula oleh kenaikan harga minyak masak. Sudah pasti kenaikan harga ke atas kedua-dua bahan ini memberi kesan kepada perniagaan dan juga kehidupan seharian pengguna. Pendapatan boleh guna golongan pengguna menjadi semakin terjejas. Perubahan dalam pendapatan boleh guna ini seterusnya  ia bakal mempengaruhi corak perbelanjaan mereka dan seterusnya memberi kesan kepada kelansungan perniagaan  yang diusahakan oleh para peniaga dalam jangka masa panjang.

Lalu masing-masing meluahkan perasaan tak puas hati kepada pihak tertentu  dengan menulis di laman-laman sosial ataupun semasa bersembang di kedai-kedai mamak. Masing-masing  melepaskan geram yang terbuku di hati. Namun, jika direnung dan difikir secara rasional,   meluahkan perasaan di laman sosial atau ketika bersembang di kedai-kedai mamak tidak dapat mengubah keadaan. Harga petrol dan minyak masak tidak akan turun walaupun kita membuat posting berkenaan kenaikan tersebut setiap hari di face book atau di WhatsApp. Malah tindakan ini boleh menambahkan lagi stress anda. 

Sama ada marah atau tidak, anda perlu sedar bahawa bukan anda seorang saja yang menghadapi situasi ini. Ia dialami oleh setiap orang yang tinggal di negarayang bernama  Malaysia. Tak kira anda tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur atau Johor Baharu atau pun anda tinggal di pekan kecil seperti Naka atau Ulu tembeling. Bagi mereka yang berfikiran positif dan berpandangan  jauh, tindakan melepaskan geram di laman sosial adalah tidak menguntungkan mana-mana pihak. Sebaliknya mereka akan memikirkan jalan penyelesaian bagaimana untuk menghadapi situasi ini.  Mereka cepat-cepat sedar bahawa mereka tidak boleh mengubah keadaan persekitaran semasa, tetapi apa boleh dibuat ialah  dengan menyesuaikan tindakan mengikut  perubahan semasa. 

Dalam kes kejatuhan nilai ringgit seperti yang kita hadapi sekarang ini, anda sebagai peniaga kecil sudah pasti tidak mampu untuk mengawal kadar tukaran ringgit yang di tetapkan oleh pasaran. Namun apa yang anda perlu tahu ialah  keadaan ini bakal menganggu kelancaran perniagaan anda pada masa hadapan. Oleh itu anda perlu bersedia dengan memantau sejauh mana keadaan ini akan berterusan dan bersiap sedia dengan merangka pelan tindakan. Kesan kejatuhan ini tetap akan mempengaruhi kelancaran dan kestabilan perniagaan anda pada masa hadapan. 

Pada masa ini anda mungkin belum merasa akan kesan dari kejatuhan nilai ringgit ini kerana stok yang anda beli dari pembekal  yang membekalkan bahan mentah kepada anda masih dapat dibeli dengan harga lama. Pembekal anda masih mempuanyai stok lama yang mereka simpan dalam gudang mereka. Stok yang dibeli semasa nilai ringgit masih lagi tinggi. Dengan ini mereka masih boleh menjual bahan mentah tersebut pada harga lama kepada anda. 

Namun, mungkin dalam sebulan dua lagi, apabila stok lama yang mereka simpan telah habis, pembekal akan megimportnya semula dari luar negara. Kali ini mereka perlu mengikut 'kadar tukaran baru' yang ditetapkan oleh pasaran semasa. Disebabkan oleh nilai ringgit kita yang semakin jatuh, mereka terpaksa 'menambah sedikit  modal'  untuk mengimport jumlah produk yang sama. Situasi ini akan menyebabkan kos mereka mula meningkat dan  seterusnya memaksa mereka menjual produk yang dimport tadi kepada  anda dengan harga yang sedikit mahal berbanding sebelum ini. Pada ketika inilah barulah perniagaan anda akan terkesan dengan kejatuhan nilai ringgit yang berlaku sekarang ini. 

Oleh itu, sekiranya anda  peka dan rajin memantau akan perubahan yang berlaku sekarang ini, anda tentu sudah boleh mengagak apa yang bakal terjadi kepada harga produk yang  anda jual pada dua atau tiga bulan akan datang. Anda juga sudah boleh menduga akan sambutan atau reaksi pelanggan anda terhadap produk yang anda jual nanti. Adakah mereka masih setia untuk membeli produk yang anda jual atau mereka beralih ke produk lain. Dari sekarang, adalah dinasihatkan agar anda bersedia dengan pelan tindakan yang sewajarnya bagi menghadapi kesan akibat kejatuhan nilai ringgit dan kenaikan bahan api ini. Jika perlu, buatlah perancangan dari hari ini supaya bila tiba masanya nanti anda sudah mempunyai pelan tindakan atau jalan keluar.

Siri kenaikan harga ke atas petrol dan minyak masak serta kejatuhan nilai ringgit yang berlaku kebelakangan ini juga sebenarnya memberi pengajaran kepada kita, terutamnya golongan peniaga. Ini membuktikan bahawa aktiviti memantau persekitaran adalah satu komponen penting dalam mengurus perniagaan. Dengan melakukan aktiviti memantau persekitaran, ia dapat memberi petunjuk kepada mereka untuk meramal apa yang bakal terjadi pada masa hadapan dan dengan ini mereka dapat membuat perancangan yang sewajarnya untuk bertindak agar kesinambungan perniagaan yang diusahakan itu tidak terjejas.

Pendapat ini dipersetujui oleh pakar-pakar pengurusan, seperti Nandakumar, Ghobadian dan O'Reagan (2010). Mereka  menyatakan bahawa untuk mencapai kelebihan persaingan dan mengekalkan penguasaan pasaran, setiap peniaga perlu mempunyai startegi. Namun, untuk  memastikan strategi yang dilaksanakan itu berkesan ia perlu disesuaikan atau seiring dengan situsi pasaran semasa.

Kesimpulan dari perbincangan kali ini ialah, dengan membuat pemantauan akan perubahan persekitaran semasa, ia akan memberi peluang kepada anda untuk lebih bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan berbanding mereka yang tidak mengendahkan akan perkara ini.  Kepada mereka yang telah memiliki buku Jom Bisnes!, saya harap situasi kenaikan harga petrol dan minyak masak, serta kejatuhan nilai ringgit yang berlaku sejak kebelakangan ini dapat memberi lebih pemahaman lagi kepada anda akan kepentingan mempelajari aktiviti memantau persekitaran yang ditulis di dalam buku tersebut.

Semoga posting kali ini juga  akan memberi lebih pemahaman dan membantu anda dalam membuat keputusan dan memilih strategi yang lebih berkesan. Jika keadaan ini berterusan (kejatuhan nilai ringgit dan kenaikan beberapa barangan kawaan), mungkin dua atau tiga bulan lagi, mahu atau tidak anda perlu membuat perubahan dalam perniagaan anda demi menjaga kelangsungannya.

Sekian untuk kali ini. Selamat menjalankan urusniaga dan mengharungi cabaran semasa.

4 Langkah untuk membantu anda membuat jualan di media sosial

Mengikut laporan  akhbar tempatan, setiap hari semakin ramai individu yang menjalankan perniagaan sama ada secara sepenuh masa ataupu...