Friday, 21 July 2017

Cabaran Ekonomi Negara untuk Suku Kedua 2017 dan Kesannya Kepada Peniaga kecil.




Untuk entri kali ini, saya ingin kongsikan dengan anda tentang jangkaan ekonomi negara bagi suku kedua tahun 2017 (Julai- Desember 2017)  berdasarkan maklumat yang diperolehi dari kajian yang dilakukan. 
Laporan ini merupakan kesinambungan kepada entri saya yang dipos pada  awal tahun 2017 yang lalu.
Tujuan perkongsian ini hanyalah sebagai panduan kepada para usahawan, terutamanya golongan peniaga kecil  agar dapat memberi mereka maklumat dalam membantu mereka membuat perancangan bagi menghadapi cabaran perniagaan pada suku kedua tahun 2017 ini nanti.

Sebagaimana yang sedia maklum, Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, iaitu 5.6% pada suku pertama tahun ini dan pertumbuhan ini melebihi jangkaan awal kerajaan iaitu 4.8%. Jika prestasi ini mampu dikekalkan, ramai ahli ekonomi menjangkakan bahawa  ekonomi Malaysia akan meneruskan momentum pertumbuhannya untuk suku kedua tahun ini.


Misalnya, Nomura Singapore LTD menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang sehingga 5.3% berbanding 4.8% yang disasarkan oleh kerajaan semasa pembentangan belanjawan 2017 oleh Perdana Menteri  pada Oktober 2016 tahun lalu. Sementara itu penganalisis dari syarikat OCBC pula mensasarkan ekonomi Malaysia akan berkembang sebanyak 4.8% berbanding 4.2% yang dijangka oleh syarikat itu pada awal tahun yang lalu. Sasaran ini adalah menyamai sasaran yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.


Andaian atau jangkaan ini dibuat ini adalah berdasarkan kepada beberapa indikator, seperti kadar pertumbuhan  eksport negara, penurunan kadar inflasi, pergerakan menaik penanda aras Bursa Malaysia dan pemulihan nilai ringgit.  Mari kita kaji indikator-indikator tersebut satu persatu.


Pertumbuhan eksport negara pada suku pertama tahun 2017 telah berkembang sebanyak 21.4%. Peningkatan ini adalah didorong oleh pertumbuhan terhadap permintaan seperti peralatan  elektronik dan komponen telefon pintar, di mana Malaysia merupakan salah satu daripada pembekal komponen peralatan elektronik dan telefon pintar. 


Di samping itu, peningkatan eksport juga disumbangkan oleh  sektor pertanian terutamanya eksport hasil kelapa sawit dan getah, di mana eksport bagi kedua-dua komoditi ini telah mencatat pertumbuhan sebanyak 8.3% berbanding -2.5% ( negatif 2.5%) pada suku keempat 2016. 

Indeks pembuatan juga turut menyumbangkan kepada peningkatan eksport negara  pada suku pertama tahun 2017 ini. Pada bulan Mei 2017, indeks pembuatan telah mencatatkan kenaikan sebanyak 7.3% berbanding bulan April sebanyak 6.7% dan bulan Mac sebanyak 5.6%.  

Berdasarkan kepada peningkatan eksport ini, penganalisis menjangkakan ekonomi negara akan meneruskan perkembangannya untuk suku kedua tahun ini. Namun begitu, apa yang membimbangkan dan menjadi tanda tanya pihak peniaga terutamanya peniaga kecil ialah pertumbahan dalam eksport dan indeks pembuatan ini tidak diterjemahkan oleh perbelanjaan pengguna.

Berdasarkan laporan  yang dikeluarkan oleh Retail Group Malaysia, didapati bahawa sektor peruncitan telah mengalami kemerosotan sebanyak 1.2% untuk sepanjang suku pertama tahun 2017 ini berbanding tempoh yang sama pada tahun 2016 yang lalu. Ia adalah bertentangan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyatakan bahawa terdapatnya pertumbuhan dalam sektor peruncitan iaitu sebanyak 8.2% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.


Kenyataan yang dikeluarkan oleh Retail Group ini ialah berdasarkan kepada jumlah atau nilai perbelanjaan pengguna sewaktu mereka meyambut dua perayaan besar pada tahun ini, iaitu Tahun Baru Cina yang jatuh pada bulan Februari 2017 dan Hari Raya Puasa pada hujung bulan Jun 2017 baru-baru ini. Mereka mendapati perbelanjaan ke atas keperluan harian untuk sepanjang suku pertama 2017 dan juga perbelanjaan untuk barang keperluan perayaan tetap berada di peringkat yang redah.Fenomenna ini menunjukkan pihak pembeli sudah semakin hilang kuasa beli mereka dan memaksa mereka berhati-hati dalam perbelanjaan walaupun ketika  menyambut hari perayaan.


Dapatan ini turut disokong oleh kadar pengagguran negara yang kelihatan semakin meningkat pada suku pertama 2017 yang lalu. Kadar pengagguran telah meningkat kepada  3.5% berbanding 3% pada tahun 2016.
Antara punca kenaikan kadar pengangguran ini  adalah disebabkan oleh kelembapan ekonomi serantau yang turut menjejaskan pasaran tempatan sehingga menyebabkan beberapa sektor utama terjejas teruk terutamanya sektor perbankan, otomobil dan industri petroleum. Malah ada pekerja-pekerja yang telibat dalam sektor-sektor ini terpaksa mereka ditawarkan Skim Pemberhentian Sukarela(VSS) oleh pihak syarikat.  Begitu juga yang terjadi kepada pekerja-pekerja sektor perkilang. Ramai pekerja mereka yang terpaksa ditawarkan pemberhentian secara sukarela apabila kilang terpaksa menghentikan operasi.



Sekiranya keadaan ini berlanjutan pada suku kedua 2017, tahap persaingan dalam perniagaan akan menjadi semakin sengit dan ianya kelihatan sukar untuk sesetengah entiti perniagaan bertahan. Ini adalah kerana akan ada beberapa kerat dari pekerja yang mendapat tawaran skim pemberhentian secara sukarela ini yang terpaksa menjalankan perniagaan disebabkan tidak mempunyai sumber pendapatan lain bagi menampung kehidupan seharian. Dengan kemasukan kumpulan ini, persaingan di dalam dunia perniagaan, terutamanya perniagaan kecil-ecilan dijangka akan menjadi semakin sengit.


Indeks kadar inflasi telah menunjukkan penurunan secara berturut-turut untuk tempoh tiga bulan kebelakangan ini. Kadar inflasi telah turun kepada paras yang paling rendah iaitu  3.6% pada bulan Jun 2017 berbading 3.9% pada bulan Mei,   4.8% pada bulan April dan 4.5% pada bulan Februari 2017.

Kadar inflasi ini juga penting untuk diperhatikan oleh usahawan kerana ia juga akan mempengaruhi pendapatan boleh guna golongan pengguna dan seterusnya akan mempengaruhi corak perbelanjaan mereka. Corak perbelanjaan pengguna ini seterusnya akan mempengaruhi kesinambungan sesebuah perniagaan untuk jangka panjang. (link)


Untuk suku kedua 2017, kadar inflasi  dijangka akan terus kekal dalam jajaran 3.5%  hingga 4.5%. Namun begitu, andaian ini bergantung kepada beberapa  faktor, terutamanya faktor turun naik harga minyak mentah dunia. Ini adalah kerana sebarang pergerakan turun naik harga minyak mentah dunia akan turut mempengaruhi harga petrol di negara kita.

Contohnya, sekiranya harga minyak mentah dunia kekal stabil di paras USD50 hingga USD55 setong, kerajaan Malaysia dijangka dapat mengawal  harga petrol dalam negara kita di antara RM2.30 hingga RM2.60 seliter bagi RON97 dan  RM2.05 hingga RM2.30 seliter bagi RON 95. Dengan harga petrol yang berada di paras ini, ia dapat mengekalkan kadar infalsi  untuk terus stabil pada tahap sekarang (3.5%- 4.5%).

Tetapi sekiranya  harga minyak mentah dunia mengalami penurunan yang berterusan dan jatuh sehingga di bawah paras USD40 setong,  kerajaan Malaysia dijangka 'terpaksa' menaikkan harga petrol tempatan untuk menstabilkan pendapatannya  yang mengalami kemerosotan kesan dari pengurangan jumlah royalti yang diterima dari syarikat-syarikat petrolium yang beroperasi di negara kita.    

Sekiranya kerajaan menaikkan harga petrol, ia seterusnya akan menyebabkan berlakunya peningkatan  indeks inflasi kerana  ia secara tidak langsung akan menyumbang kepada kenaikan kos pengurusan dan kos-kos yang lain. Kesan dari 'inflasi tekanan kos ini' seterusnya akan meperlahankan pertumbuhan perniagaan pada suku kedua 2017 akan datang.


Kadar pertukaran ringgit berbanding US dollar menujukkan pemulihan yang positif terutamanya  sepanjang bulan April sehingga Jun 2017 jika dibandingkan pada  awal tahun  yang lalu. Sehingga entri ini ditulis, nilai ringgit kini telah meningkat sebanyak 4.5% iaitu di paras RM4.28 berbanding RM4.50 untuk USD1 yang dicatatkan pada awal tahun ini. 


Pemulihan nilai ringgit ini adalah disebabkan oleh dollar US yang semakin melemah  kesan dari krisis politik yang berlaku di Amarika Syarikat.  Fenomenna kejatuhan US dollar ini telah memberi sedikit kelegaan kepada peniaga di negara kita kerana ia secara tidak langsung dapat  mengurangkan kos import.


Dengan penjimatan dalam kos import ini seterusnya dapat membantu  para usahawan untuk mempergiatkan semula aktiviti promosi perniagaan mereka yang  tergendala semenjak suku ketiga 2016 sehingga pertengahan tahun 2017 yang lalu kerana  terpaksa mengurangkan  bajet perbelanjaan untuk promosi bagi menampung peningkatan kos import dan pengurusan kesan dari kejatuhan nilai ringgit yang berlaku pada tempoh tersebut. 


Namun begitu, keadaan ini mungkin akan bertukar menjadi semakin buruk berbanding apa yang pernah dialami sebelum ini sekiranya nilai US dollar kembali pulih. Mengikut ramalan penganalsis, dollar dijangka akan  pulis semula apabila Bank Pusat Amarika (Federal Reserve bank) dijangka akan menaikkan kadar interest penghujung  tahun 2017. 

Jika kenaikan kadar interest ini dilaksanakan, nilai  ringgit  dijangka akan menjunam semula ke paras awal tahun 2017 dahulu, iaitu RM4.50 atau mungkin lebih rendah lagi. Kesan ini sudah semestinya akan memberi tekanan semula kepada perniagaan di negara kita pada suku kedua tahun 2017 ini. 
Diharap para usahawan dapat memantau situasi ini dari masa ke semasa dan membuat perancangan sewajarnya apabila tiba masanya nanti. 


Akhir sekali, pasaran saham negara juga menunjukkan pengaliran positif sejajar dengan pemulihan nilai ringgit dan pertumbuhan ekonomi semasa. Indeks Bursa Malaysia telah mengalami peningkatan sebanyak 116 mata semenjak Januari sehingga Jun 2017 yang lalu. 

Mengikut laporan MIDF Research,  kenaikan indeks Bursa Malaysia ini adalah disebabkan oleh belian secara berterusan oleh dana asing ke atas kaunter-kaunter terpilih di Bursa Malaysia. Mengikut rekod, nilai pegangan dana asing di dalam Bursa Malaysia untuk sepanjang suku pertama tahun 2017 ini telah mencecah sebanyak USD2.3 billion. 

Namun begitu, yang 'sedikit menghairankan' ialah  jumlah penyertaan pelabur runcit masih lagi hambar, di mana sepanjang suku pertama tahun ini jumlah penyertaan pelabur tempatan masih di bawah RM1 billion berbanding nilai yang dicatatkan pada suku pertama tahun 2016 yang lalu. Situasi ini memberi gambaran bahawa kenaikan di Bursa Malaysia ini masih menjadi tanda tanya kepada majoriti pelabur, sama ada kenaikan ini adalah berupa ‘bull market’ atau hanya sekadar satu perangkap buat mereka. 

Seandainya ia hanyalah satu perangkap untuk menjerat pelabur tempatan supaya memasuki pasaran, ini menunjukkan bahawa pemulihan ekonomi negara dan unjuran KDNK yang dilaporkan pada suku pertama tahun ini adalah ‘bias’ . Malah ekonomi negara dijangka akan terus malap untuk tempoh suku kedua tahun 2017 ini.  

Diharap perubahan atau pergerakan Bursa Malaysia ini juga dapat dijadikan indikator kepada para usahawan  ketika membuat perancangan bagi menghadapi cabaran seterusnya pada suku kedua tahun 2017 ini.


Sekian untuk kali ini. Semoga entri  ini dapat memberi anda serba sedikit maklumat untuk  anda membuat keputusan dalam menguruskan perniagaan untuk suku kedua tahun 2017 ini.

Tuesday, 4 July 2017

Tiga strategi mudah untuk memperkenalkan produk anda di Pasaran.



Sebagai seorang usahawan sudah pasti anda ingin supeya ramai pengguna membeli produk atau perkhidmatan yang anda keluarkan.Lebih-lebih lagi jika anda baru saja memulakan perniagaan. Sekiranya pelanggan tidak menyedari akan kehadiran produk anda di pasaran, perniagaan anda bakal menerima nasib yang malang.


Kaedah yang biasa dipraktiskan oleh kebanyakan syarikat  yang baru saja mengeluarkan produk  atau perkhidmatan mereka ialah dengan menggunakan kaedah ‘marketing mix’.  Kaedah ini diperkenalkan oleh McCarthy pada tahun 1978 dan menjadi asas dalam  prinsip pemasaran moden.

Konsep 'marketing mix' ini lebih dikenali sebagai 4P di kalangan pelajar jurusan perniagaan, iaitu : produk
          price
          place dan
          promotion. 
Mengikut  konsep 'marketing mix' ini, setiap  usahawan perlu menguruskan keempat-empat elemen ini dengan seimbang sewaktu memasarkan produk mereka  kepada pengguna. Sekiranya salah satu elemen ini tidak diberi perhatian, aktiviti pemasaran itu akan gagal.


Namun begitu, ketika keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan dan tahap persingan yang semakin sengit seperti sekarang ini, konsep 'marketing mix' ini tidak berapa sesuai. Tambahan pula, setiap hari banyak produk dan perkhidmatan  yang sama atau seakan sama  dengan  produk atau perkhidmatan yang anda keluarkan juga dijual oleh pengusaha lain. 

Oleh itu, untuk membantu anda memperkenalkan produk anda di pasran dengan lebih berkesan, salah satu strategi yang bakal dibincangkan ini perlu dipraktiskan atau digabungkan bersama dengan konsep 'markting mix'.


1.       Penjenamaan (Branding)


Branding atau penjenamaan ini ialah satu proses di mana anda cuba 'mencipta nama' di dalam pasaran. Dalam konteks ini,anda perlu mengalih persepsi pengguna dari membeli produk lain beralih kepada produk anda. 

Penjenamaan akan memberi penambah nilai kepada produk anda kerana majoriti pengguna pada hari ini, terutamanya generasi 'Y'  lebih mementingkan jenama berbanding ciri-ciri lain yang ada pada produk tersebut.  Misalnya, kanak-kanak akan merasa bangga dan tanpa segan silu menunjukkan jenama KIKO atau KIKI Lala yang tertampal pada baju mereka kepada kawan-kawan. Kita sendiri pun akan berbangga jika memandu kereta berjenama BMW berbanding kereta Produa Kancil atau MyVi. Di sinilah jenama memainkan peranan dalam memberi nilai kepada sesuatu produk.

Oleh itu dengan mempunyai jenama yang kukuh, produk anda akan lebih cepat dikenali dan dalam masa yang sama anda boleh menjual produk anda itu dengan harga yang lebih tinggi berbanding produk yang sama yang dijual di pasaran.

Antara langkah yang biasa diguna ketika proses penjenamaan ialah dengan memperkenalkan logo atau simbul tertentu untuk produk anda bagi membezakan produk keluaran anda dengan produk lain yang ada di pasaran. Contohnya syarikat pengeluar roti Gardenia menggunakan logo 'uncle Slocom'  pada plastik pembungus roti mereka,  manakala  syarikat KFC pula menggunakan logo Colonel Harland David Sanders yang dicetak di kotak atau cawan minuman untuk memperkenalkan jenama ayam goreng mereka.




2.       Bentuk dan cara pembungkusan  produk.

Selain dari aktiviti penjenamaan, corak atau cara syarikat mempesembahkan sesuatu produk juga dapat menarik bakal pelanggan membeli produk mereka berbanding produk lain di pasaran. Strategi  ini memerlukan  anda kreatif ketika menyediakan dan 'mereka' corak  atau kaedah pembungkusan produk.

Strategi ini telah diperkenalkan oleh Wiltshire pada tahun 1982, di mana beliau telah membuktikan bahawa dengan cara pembungkusan yang unik, ia mampu melonjakkan jualan  sesuatu produk di pasaran. Ini adalah kerana mengikut perspektif psikologi, majoriti  pengguna biasanya membeli sesuatu  produk itu kerana tertarik dengan warna atau keunikan pembalutnya, bukannya disebabkan ciri-ciri yang ada pada produk tersebut.

Contohnya, apa yang dilakukan oleh beberapa syarikat pengeluar air mineral seperti AQUA, Spritzer, Bleu dan Cactus. Syarikat-syarikat ini mengeluarkan produk yang  sama, iaitu air minuman. Jika dibandingkan, kesemua air dari sayrikat tersebut mempunyai rasa, khasiat dan diambil dari sumber yang hampir sama. Oleh itu untuk membezakan produk mereka dengan produk keluaran syarikat lain, pihak syarikat perlu membuat pembezaan melalui reka bentuk botol. Di samping memberi keunikan, ia juga dapat menarik minat pengguna untuk membeli air keluaran mereka.




3.       Penjagaan kualiti produk/perkhidmatan

Strategi terakhir bagaimana untuk anda memperkenalkan produk keluaran anda di pasaran ialah dengan menjaga kualiti produk. Strategi ini  juga terbukti berjaya dan ia telah dipraktiskan  oleh  syarikat pengeluar ubat terbesar, Norvatis pada tahun 2002.

Mereka mempraktiskan strategi penjagaan kualiti produk ini adalah kerana syarikat mereka agak ketinggalan dalam aktiviti innovasi. Oleh itu  mereka tidak mampu untuk mengeluarkan produk baru untuk bersaing dengan syarikat lain dan mengikut trend, jika sesebuah syarikat pharmaceutikal tidak dapat mengeluarkan produk baru di pasaran sekurang-kurangnya dua tahun sekali, syarikat tersebut akan ketinggalan.

Jadi, untuk memastikan syarikat ini terus bersaing di dalam industri 'prahmaceutical', pengurus syarikat ini telah mengarahkan setiap pekerja supaya menjaga kualiti produk mereka sebulum dipasarkan. Hasilnya, walaupun mereka ketinggalan dalam aktiviti membuat produk baru, namun dengan mengamalkan strategi penjagaan kualiti produk, syarikat ini  mampu bersaing malah mereka berjaya menaikkan jualan sebanyak 13% pada suku pertama tahun tersebut. 

Sekian untuk kali ini.

Monday, 26 June 2017

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1438H


Sejak 1 shawal lagi ramai rakan blogger yang dah  upload gambar raya mereka. Bagi yang mempunyai keluarga, mereka 'upload' gambar secara berfamili, manakala bagi yang masih belum bertemu jodoh, mereka tetap juga upload gambar raya, tapi secara solo. InsyaAllah, jika ada jodoh, tahun depan atau tahun lagi satu, ada la tu rakan blogger yang upload gambar raya mereka secara berdua pula. Yang penting jangan berputus asa, sebab tuhan sudah pun tulis di Loh mahfuz beberapa perkara sebelum seseorang anak adam itu lahir ke dunia iaitu, rezeki belia, jodoh beliau, dan ajal beliau. Cuma kita kena usaha saja.

Okey lah, saya tak nak bersembang panjang. Memandangkan kita masih lagi dalam mood raya, saya juga mengambil peluang untuk upload gambar raya kami pada tahun ini ( 1438 H). Jika tahun lepas baju raya kami bertema kelabu dari bawah samapi ke atas, tapi kali ini kami bertema merah-biru.  Tema ini dipilih oleh isteri dan anak-anak. Saya cuma 'follow' je.

Di kesempatan ini juga, saya mewakili anak-anak dan isteri ingin mengucapkan Selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri 1438H kepada semua sahabat blogger dan followers, sama ada yang menjadi rakan atau yang sekadar menjadi pengunjung secara 'touch and go'. Mana-mana tulisan saya yang terkurang, saya memohon banyak-banyak maaf dan akan berusaha untuk memperbaikinya lagi. Mana-mana perkongsian yang tuan/puan rasa baik, saya izinkan untuk tuan/puan mempraktiskannya. Cuma pesan saya ialah, sebelum tuan/puan ingin praktis apa yang saya kongsi, tolong 'elaborate' dan 'modofied' lagi maklumat-maklumat tersebut agar ianya sesuai dengan situasi yang tuan/puan hadapi.

Sekian untuk kali ini.

Wassalam

Thursday, 4 May 2017

4 Langkah untuk membantu anda membuat jualan di media sosial



Mengikut laporan  akhbar tempatan, setiap hari semakin ramai individu yang menjalankan perniagaan sama ada secara sepenuh masa ataupun  sambilan. Ada yang membuka gerai di tepi-tepi jalan atau membuka kedai di lokasi-lokasi strategik.  

Di samping itu, dengan adanya kemajuan dalam  teknologi maklumat ,  semakin ramai  pula individu yang menukar platform perniagaan mereka dari konvensional kepada perniagaan atas talian (online). Tambahan pula, modal yang diperlukan untuk membina perniagaan online adalah rendah berbanding membuka perniagaan secara konvensional.

Malangnya, satu perkara yang ramai tidak menyedari ialah,  dari 10 individu  yang menjalankan perniagaan atas talian sama ada facebook, twitter, instagram, blog atau pun LikedIn, hanya  sekitar 4% sahaja yang benar-benar berjaya membuat jualan ( close sale) secara berterusan,  walaupun bilangan pengguna media sosial di negara kita adalah antara yang tertinggi di Asia. 


Dalam entri kali ini saya ingin berkongsi  beberapa tips yang boleh anda praktiskan bagi membantu meningkatkan lagi  jualan anda di media sosial. 


1.       Ubah cara pendekatan dari menjual kepada membina hubungan.

Sebagaimana yan diketahui, masyarakat Malaysia suka menghabiskan masa di laman-laman social, terutamanya facebook.  Setiap individu dianggarkan akan menghabiskan masa mereka sekurang-kurangnya 1 atau 2 jam sehari melayari laman sosial. Dari kajian yang dilakukan, majoriti pengguna yang megunjungi laman  face book  adalah untuk berinteraksi ,    bergosip atau bertanya khabar dengan kawan atau sahabat maya. 


Hanya segelintir saja individu yang melayari face book dengan  tujuan mencari atau membeli produk. Tambahan pula di zaman kegawatan ekonomi seperti sekarang ini.  Lagi ramai pengunjung media sosial ini yang berhati-hati ketika membuat pembelian.  Jika mereka ingin membeli sesuatu produk, biasanya mereka akan bertanyakan  maklumat yang selengkapnya dari kawan-kawan di media social sebelum membuat keputusan. Hampir 50% dari kalangan pengguna media social akan  membeli  produk atau perkhidmatan setelah mendapat  ‘recommendation’ dari  sahabat  mereka di media sosial. 


Oleh itu, sebagai seorang peniaga yang menggunakan media social sebagai platform perniagaan,  anda  perlu memahami trend  ini sekiranya  tidak mahu ‘di blok’ atau dikeluarkan dari senarai kenalan. Anda tidak lagi boleh membuat iklan semahunya di 'wall anda'  setiap masa.

Sebaliknya, anda perlu menukar taktik membuat iklan dengan menumpukan kepada aktiviti  membina hubungan dan kerdibiliti ( branding). Proses ini mengambil masa yang  lama. Ada yang memerlukan  masa dua atau tiga bulan dan ada yang lebih dari itu. Saya sendiri mengambil masa hampir 1 tahun untuk membina jenama dan kepercayaan melalui blog sebelum saya boleh menjual buku pertama saya "Jom Bisnes" secara atas talian.  Oleh itu, perbanyakkan aktiviti berinteraksi dan membina jenama anda di laman sosial berbanding membuat iklan. Bina kepercayaan dan Brand anda secara perlahan-lahan tetapi konsistant.


2.       Jangan kedekut untuk “Like” dan berinterksi (komen) dengan bakal pelanggan/     
        prospek.

Orang kata, tak kenal maka tak cinta. Di sini anda juga perlu berpegang kepada pepatah ini jika ingin berjaya menjadi seorang peniaga atas talian. Untuk  memulakan berinteraksi, sebaiknya anda yang  perlu mulakan dahulu, bukannya menunggu pelanggan atau bakal pelanggan yang datang mencari atau memohon menjadi rakan anda, kecualilah anda memang sudah terkenal seperti Irfan khairi ataupun anda memang seorang artis. Jika anda tergolong dalam ‘public figure’ bolehlah anda menjadi penunggu kerana pasti setiap jam ada saja individu yang ingin berkenalan dengan anda di alam maya. Tapi jika anda hanya individu biasa-biasa saja, andalah yang kena mula dulu proses berkenalan dan berinteraksi dengan prospek atau individu di luar sana. 


Langkah pertama ialah, anda perlu cari prospek atau individu yang anda rasa beliau mempunyai minat atau kecenderungan terhadap produk atau perkhidmatan anda. Saya rasa anda sudah tahu bagaimana untuk membuat tapisan ke atas individu atau bakal prospek anda melalui teknik demografi. Setelah mengenali prospek, mulakan dengan ‘like’ setiap posting yang beliau tulis/update. Setelah beberapa lama dan mesra, beri pula komen untuk meningkatkan kredibiliti anda. Dalam tempoh ini pun anda masih tidak digalakkan untuk beriklan. Sebaliknya, anda tumpukan kepada ‘cara penyelesaian masalah’ yang mungkin dihadapi oleh prospek atau kenalan anda tadi melalui komen. Sekiranya beliau dapati komen dan idea anda serta perkhidmatan atau produk anda mampu menyelesaikan masalah yang sedang beliau dihadapi, aktiviti jual beli pasti akan berlaku tanpa dipaksa.


3.       Selalu ‘Update’  berkenaan diri anda.

Sentiasa pastikan personal profile anda dikemaskini  dengan info terkini. Profile anda akan menceritakan siapa diri anda, apa pekerjaan anda serta apa kelayakan anda. Maklumat-maklumat ini perlu sentiasa dikemaskini dalam personal profile anda supaya senang dibaca dan dirujuk oleh prospek yang mungkin memerlukan khidmat atau produk anda. 


Mengikut kajian, kebiasaannya prospek akan membeli atau menggunakan produk atau perkhidmatan seseorang itu apabila prospek benar-benar yakin akan kredibiliti dan kelayakan  penjual atau individu yang menyediakan perkhidmatan tersebut. Selain dari mendapat  ‘recommendation’ dari kawan melalui facebook atau twitter, prospek juga biasanya akan melayari halaman 'profil penjual tersebut untuk membuat penilaian ke atas penjual tersebu. Sekiranya prospek yakin kepada penjual atau penyedia perkhidmatan tersebut, barulah prospek akan membeli dari beliau.  

Oleh itu pastikan profile diri anda dan kelayakan atau pencapaian anda sentiasa dikemaskini dan pastikan juga ianya adalah tulin (genuine). Jangan sesekali anda cuba menipu atau memanipulasi profil diri dan kelayakan anda kerana apabila sekali anda ‘terkantoi’, selamanya anda tidak akan dipercayai. 

4.       Bina hubungan dengan pelanggan secara konvesional (off line) juga.

Selepas anda mempunyai akaun facebook atau twitter, sudah pasti anda inginkan bakal pelanggan mengenali facebook atau twitter anda. Malangnya, media sosial tidak berfungsi hanya dengan menggunakan komputer dan line internet sahaja. Anda tetap juga perlu kepada saluran konvensional untuk membuat promosi berkenaan laman web atau facebook anda kepada prospek yang belum mengenali anda. 

Jika anda adalah salah seorang pengguna lebuh raya dan sering  berulang alik melalui lebuh raya PLUS atau mana-mana lebuh raya utama, pasti anda akan perasan papan iklan yang tertulis alamat atau  URL selain gambar produk atau perkhidmatan yang mereka jual yang dipasang di sepanjang lebuh raya tersebut. Ini menunjukkan bahawa walaupun sesebuah syarikat  itu sudah terkenal dan mempunyai pelanggan yang ramai termasuk pelanggan 'online', namun mereka tetap juga menumpukan kepada aktiviti promosi secara konvensional untuk memperkenalkan URL atau alamat website mereka. Begitu juga dengan anda. Jangan disebabkan anda berfikir yang anda menjalankan perniagaan secara atas talian, lalu anda terus melupakan aktiviti membuat promosi secara konvensional ini.


Kad perniagaan, alat tulis, token, t-shirt, invoice dan dokumen-dokumen  pernaigaan lain boleh digunakan untuk membantu  anda membuat promosi website atau facebook anda.  Pastikan anda menulis atau meletakkan alamat facebook atau URL blog atau website anda di atas benda-benda tadi supaya apabila setiap kali anda berurusan dengan seseorang, beliau akan tahu dan perasan bahawa anda mempunyai website atau facebook.





Sekian untuk kali ini.

Cabaran Ekonomi Negara untuk Suku Kedua 2017 dan Kesannya Kepada Peniaga kecil.

Untuk entri kali ini, saya ingin kongsikan dengan anda tentang jangkaan ekonomi negara bagi suku kedua tahun 2017 (Julai- Desember ...