Monday, 16 January 2017

Cabaran Awal tahun 2017

Entri: 46
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google image


Salam sejahtera  kepada pengunjung blog Strategi pemasaran dan pengurusan perniagaan. 

Sudah dua minggu kita menjalani kehidupan di tahun baru 2017. Tahun yang dianggap sebagai tahun mencabar oleh kebanyakan usahawan. Tahun yang penuh dengan ketidak tentuan.

Sebagaimana yang dialami oleh penduduk di Amerika syarikat yang  masih terkejut dengan kemenangan Donald Trump dalam pilihanraya baru-baru ini, di negara kita juga tidak terkecuali. Awal-awal tahun lagi kita  sudah dikejutkan oleh  kenaikan harga petrol dan disel, iaitu sebanyak 20 sen dan 15 sen bermula 1 Januari baru-baru ini.

Kenaikan ini sudah pasti sedikit sebanyak memberi kesan kepada golongan pengguna yang  ketika itu sebok membuat persiapan akhir bagi menghadapi sesi persekolahan anak yang bermula pada 3 Januari. Ia juga pasti membuatkan ibu bapa mengalami sedikit tekanan kerana terpaksa melakukan pengubahsuaian dalam bajet untuk bulan ini. Mana tak nya, duit untuk bayar yuran PIBG dan beli pakaian seragam/ uniform  kokurikulum anak terpaksa ditarik sedikit untuk isi minyak motor atau minyak kereta. Silap-silap, bagi yang benar-benar tidak mampu terpaksa menunda pembelian pakaian seragam/uniform kokurikulum itu pada bulan depan (bulan Februri).
Keadaan ini sudah pasti sedikit sebanyak akan  memberi kesan sampingan juga kepada golongan peniaga. Ini adalah kerana mengikut sifir mudahnya, apabila golongan pengguna mengalami kekurangan wang dalam saku mereka, ia akan menyebabkan mereka kurang  untuk berbelanja pada bulan itu dan tindakan tersebut akan memberi kesan kepada pendapatan golongan peniaga.

Pada minggu pertama tahun 2017 juga kita turut dikejutkan dengan kenaikan harga barangan keperluan harian. Ini adalah kesan dari kejatuhan ringgit yang berlaku semenjak bulan Oktober 2016.  Kesan dari kejatuhan  dalam tukaran wang asing ini mula dirasai secara menyeluruh sekarang ini kerana  pengimport dan pemborong sudah kehabisan stok barangan yang dibeli ketika  nilai ringgit stabil dahulu. Oleh itu nak tak nak mereka terpaksa menjualnya dengan harga baru.

Contohnya daging import yang dulunya dijual dengan harga RM16 sekilogram telah meningkat sebanyak 137% menjadi  RM22 sekilogram hanya dalam tempoh dua bulan (Harian Metro 11 Januari 2017).  Manakala harga sayuran seperti kobis, lobak merah dan sawi yang diimport dari  India, Thailand dan China pula mengalami kenaikan harga sebanyak 100% hingga 150% ( Harian metro, 9 januari 2017).

Kenaikan  harga ke atas barangan keperluan harian ini menimbulkan masalah baru bukan saja kepada pengguna  tetapi  peniaga juga tidak terkecuali. Jumlah kedatangan  pelanggan ke premis mereka semakin merosot kerana majoriti dari kalangan mereka seakan  tidak boleh menerima kenaikan harga ini walaupu mereka juga tahu bahawa kesan tersebut adalah disebabkan oleh oleh kejatuhan nilai mata wang negara.  Lantaran itu, ramai peniaga yang  menjadi serba salah sama ada bersedia untuk menanggung 'sedikit kerugian'  atau menjualnya dengan harga baru dan menerima kritikan daripada pelanggan.

Situasi ini bukan saja dialami oleh peniaga yang menjual produk keperluan harian sahaja.   Mereka yang menjalankan perniagaan menjual produk kesihatan dan kosmetik, perabut dan   jual beli kenderaan serta hartanah juga merasai akan kesan ini. Disebabkan berlaku kenaikan kos mengimport produk kecantikan misalnya telah memaksa pihak pengeluar produk kecantikan dan kosmetik ini  menaikkan harga sewaktu menjual kepada pengedar mereka di seluruh negara dan seterusnya memberi masalah baru kepada stokis serta agen-agen mereka.

Ramai agen dari syarikat jualan langsung yang dulunya mempunyai ramai pelanggan mula terkena tempiasnya. Jika dulu mereka boleh hidup selesa dengan hanya menjalankan perniagaan secara online, kini  mereka terpaksa  mengubah taktik kepada  taktik Hybrid O2O untuk mencari lebih ramai pelanggan baru bagi mengekalkan target bulanan.  

Mereka tidak boleh lagi berharap kepada pelanggan di atas talian seperti   face book, twitter dan instagram semata-mata, sebaliknya mereka perlu bertindak  lebih agresif lagi  iaitu dengan keluar mencari pelanggan, sama ada penduduk yang tinggal di sekitar kediaman mereka atau rakan-rakan di tempat bertugas untuk membuat promosi. 

Begitu juga dalam sektor automobil dan perabut. Mereka yang terlibat dalam industri ini juga terpaksa berlumba dengan membuat pelbagai tawaran dan pakej istimewa bagi menarik pelanggan agar membeli kereta atau perabut keluaran syarikat mereka.

Sehingga entri ini ditulis, ramai pakar ekonomi yang masih tidak dapat menjangka sehingga tahap mana nilai mata wang negara kita akan jatuh sebelum ia menemui  titik kestabilan. Kadar penghijrahan modal elabur asing juga masih lagi tinggi dan membimbangkan. Sekiranya keadaan ini berterusan untuk tempoh sebulan dua lagi, kadar inflasi dijangka semakin meningkat dari sebelumnya dan ia pasti akan menyukarkan lagi golongan peniaga untuk menjalankan perniagaan. Selain dari masalah kehilangan pelanggan, mereka tidak dapat membuat perkiraan sebenar tentang kos menjalankan perniagaan, Ini akan mempengaruhi margin keuntungan  jika tersilap membuat  unjuran.

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi dilain entri.




4 Langkah untuk membantu anda membuat jualan di media sosial

Mengikut laporan  akhbar tempatan, setiap hari semakin ramai individu yang menjalankan perniagaan sama ada secara sepenuh masa ataupu...