Monday, 16 January 2017

Cabaran Awal tahun 2017

Entri: 46
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google image


Salam sejahtera  kepada pengunjung blog Strategi pemasaran dan pengurusan perniagaan. 

Sudah dua minggu kita menjalani kehidupan di tahun baru 2017. Tahun yang dianggap sebagai tahun mencabar oleh kebanyakan usahawan. Tahun yang penuh dengan ketidak tentuan.

Sebagaimana yang dialami oleh penduduk di Amerika syarikat yang  masih terkejut dengan kemenangan Donald Trump dalam pilihanraya baru-baru ini, di negara kita juga tidak terkecuali.  Awal-awal tahun lagi kita telah dikejutkan dengan  kenaikan ke atas harga petrol dan disel, iaitu sebanyak 20 sen dan 15 sen bermula 1 Januari baru-baru ini. Selepas ini entah apa lagi kejutan yang bakal kita teria sehingga tamat tahun 2017 ini.

Kenaikan ke atas harga petrol dan disel  ini sudah pasti sedikit sebanyak memberi kesan kepada golongan pengguna yang  ketika ini sebok membuat persiapan akhir bagi menghadapi sesi persekolahan anak-anak yang bermula pada 3 Januari lalu. 

Keputusan kerajaan menaikkan harga petrol dan disel ini  pasti menambahkan lagi keresahan di kalangan ibu bapa kerana terpaksa melakukan pengubahsuaian atau rombakan bajet untuk bulan ini. Mana taknya, duit untuk bayar yuran PIBG dan beli pakaian seragam/ uniform  kokurikulum anak terpaksa ditarik sedikit untuk digunakan bagi mengisi minyak motor atau  kereta. 

Bagi keluarga yang benar-benar tidak mampu terpaksalah si ibu memujuk anak-anak mereka supaya bersabar buat sementara waktu sementara menunggu ayah berikhtiar mencukupkan duit bagi tujuan membeli pakaian seragam/uniform kokurikulum itu. Jika berbasib baik mungkin bulan depan barulah si anak dapat merasa untuk memakai seragam uniform kokurikulum itu. Buat sementara waktu ini, pakailah dulu seragam sekolah sewaktu menghadiri perjumpaan pasukan beruniform atau menghadiri kegiatan kokurikulum.
Kesan ini tidak dirasai oleh golongan pengguna sahaja, golongan peniaga juga bakal menerima tempiasnya. Ini adalah kerana mengikut sifir mudahnya, apabila golongan pengguna  kekurangan wang dalam saku mereka, ia secra tidak langsung akan memaksa golongan pengguna ini berjimat. Tindakan ini seterusnya akan memberi kesan kepada pendapatan golongan peniaga.

Satu lagi kejutan yang dialami oleh golongan pengguna pada minggu pertama melangkah ke tahun 2017 ialah berlakunya kenaikan harga barangan keperluan harian secara tidak terkawal.  Contohnya daging import yang dulunya boleh dibeli dengan harga RM16 sekilogram telah dilaporkan telah meningkat sebanyak 137% menjadi  RM22 sekilogram hanya dalam tempoh dua bulan sahaja (Harian Metro 11 Januari 2017).  Manakala harga sayuran hijau seperti kobis, lobak merah dan sawi yang diimport dari  India, Thailand dan China pula mengalami kenaikan harga hampir 100% dan 150% ( Harian metro, 9 januari 2017).  kenaikan ini adalah disebabkan oleh kejatuhan  nilai ringgit yang berlaku semenjak Oktober 2016 yang lalu sehingga kini. 

Kenaikan  harga bukan saja berlaku ke atas barangan keperluan harian sahaja. Produk lain juga turut sama mengalami kenaikan harga harga. Disebabkan nilai ringgit yang semakin lemah berbanding dollar Amarika, ia telah menyebabkan berlakunya kenaikan kos ke atas produk-produk yang diimport seperti produk  kecantikan misalnya. 

Ini memaksa pengilang produk kecantikan dan kosmetik menaikkan harga sewaktu mereka menjualnya semula kepada pengedar. Rantaian kenaikan ini seterusnya memberi kesan  kepada stokis serta agen-agen mereka di seluruh negara, di mana mereka juga terpaksa menaikkan harga kosmetik yang dijual kepada pelanggan mereka. Kenaikan ini juga memberi masalah baru kepada mereka.

Ramai agen yang bernaung di bawah syarikat-syarikat kosmetik ini yang dulunya mempunyai ramai pelanggan mula mengeluh kerana tidak dapat mengejar target jualan seperti sebelumnya. Jika dulunya mereka boleh berharap kepada jualan secara atas talian sama ada menggunakan  face book, twitter dan instagram, kini mereka perlu  mencari pelanggan baru secara konvensional atau 'off line' juga. Mereka  perlu lebih agresif membuat promosi produk kosmetik mereka kepada jiran, rakan sekampung atau rakan-rakan di tempat bertugas.

Begitu juga dalam sektor automobil dan perabut. Mereka yang terlibat dalam industri ini juga kini terpaksa berlumba  dan berlawan sesama sendiri untuk mendapatkan pelanggan. antara taktik yang digunakan mereka ialah seperti membuat tawaran dan pakej istimewa dengan harapan pelanggan akan membeli kereta atau perabut keluaran syarikat mereka.

Sehingga entri ini ditulis, ramai pakar ekonomi yang masih tidak dapat menjangka sehingga tahap mana nilai mata wang negara kita akan jatuh sebelum ia kembali stabil. Begitu juga dengan pengaliran keluar modal asing dari Malaysia. Kadar pengaliran keluar modal  asing juga masih tinggi dan membimbangkan.

Sekiranya keadaan ini berterusan untuk tempoh sebulan dua lagi, kadar inflasi dijangka akan meningkat dari sebelumnya dan ia sekali lagi memberi kesan negatif kepada ekonomi negara. Kesan ini juga akan memberi masalah kepada golongan peniaga. Selain dari masalah kehilangan pelanggan, mereka juga menghadapi masalah ketika membuat pengiraan kos perniagaan.

Sekian untuk kali ini.




No comments:

Post a Comment

Promosi Buku