Sunday 9 December 2018

Tuala dan air mineral laku keras di perhimpunan ICERD. Apa yang kita boleh pelajari?

Semalam, 8 Desember 2018, telah berlangsungnya satu perhimpunan bagi membantah ICERD ( International Convention on the Elimination of all form of Racial Discrimination di Dataran Merdeka. 

Ramai mengatakan perhimpunan ini berjaya dan dihadiri oleh 100,000 peserta. Dan ada pula pihak yang kata himpunan ini cuma menarik seramai 80,000 peserta saja. Walau  berapa pun bilangan peserta yang hadir dalam perhimpunan itu,  blog ini tidak mahu mengulas panjang. Malah saya juga tidak berminat untuk mengulas apa itu ICERD dan mengapa mereka berhimpun. 

Saya  tertarik untuk menulis atau mengulas dari sudut perniagaan dan strategi, terutamanya apabila membaca laporan akhbar The Star pagi tadi. Dalam  laporan tersebut, penulis artikel ada menyatakan  bahawa ramai peniaga yang tersenyum girang  kerana mereka dapat membuat duit segera hanya dengan menjual tuala dan air mineral sepanjang perhimpunan itu berlangsung ( seperti yang dilaporkan dalam keratan akhbar di bawah)

Seorang peniaga telah dilaporkan  berjaya menjual sebanyak 1,200 helai tuala dalam masa beberapa jam saja. Tak ke untung besar tu!  Katakan dia hanya mengambil margin keuntungan sebanyak RM3 untuk sehelai tuala, Paling koman dia telah berjaya membuat keuntungan sebanyak RM3,600. Hanya dalam masa beberapa jam sahaja. Sedangkan ada sesetengah orang terpaksa menunggu sehingga hujung bulan untuk meraih pendapatan yang sama.

Bagaimana pula dengan jualan air mineral?  Katakan sebotol air mineral kecil (250 mls) dibeli dengan harga 40sen sebotol dari pemborong dan beliau kemudiannya menjualnya semula dengan harga RM1.50 sebotol. Jika beliau berjaya menjual sebanyak 10 katon ( 240 botol) semalam, paling koman beliau sudah membuat untung sebanyak RM216 untuk tempoh 3-4 jam berniaga.

Di saat ramai pemilik atau peniaga yang mempunyai kedai di sekitar kawasan perhimpuanan itu dilaporkan menutup kedai  kerana mereka bimbang jika berlaku kekacauan atau tragedi yang tidak diingini, tapi bagi peniaga yang 'celik strategi' pula melihat perhimpanan itu sebagai satu peluang untuk mereka membuat duit. 

Sewaktu ada sebilangan peniaga yang mengeluh kerana jualan T Shirt berlambang ICERD tidak mendapat sambutan dari para peserta, peniaga yang menjual tuala dan air mineral sebaliknya mampu tersenyum  apabila produk mereka mendapat permintaan hangat. 

Di sinilah pentingnya seseorang itu, terutamanya golongan peniaga itu 'celik strategi'. Sesuai dengan ungkapan yang sering disebut oleh General Sun Tzu yang berbunyi,
" War is a matter of vital importance to the state, a matter of life and death, the road either to survival or ruin. Hence, it is imperative that it be thoroughly studied.'' 
( Michelson & Michelson, 2015).  

Dengan mempunyai strategi, kita tahu ke mana hala tuju yang ingin kita pergi dan bagaimana untuk bertindak sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku.  Dengan mempelajari strategi, seseorang itu akan lebih peka dengan persekitaran semasa. Di saat orang lain melihat sesuatu kejadian itu sebagai satu ancaman, mereka yang mempunyai strategi pula melihat sebaliknya. 

Walaubagaimana pun, setiap strategi tetap mempunyai kelemahannya yang tersendiri dan  sebaik-baik strategi ialah strategi yang mampu memberi kemenangan tanpa perlu berkonfrontasi dengan peniaga lain. 




Saturday 17 November 2018

Jangan Peduli apa orang kata!


Mungkin kalian pernah mendengar atau membaca cerita ini semasa di sekolah rendah dulu iaitu kisah di antara seorang ayah, anak dan seekor kaldai.
Kisah bermula apabila dua orang anak beranak ingin ke pasar untuk menjual seekor kaldai. Ayahnya telah berusia tapi masih lagi kuat untuk berjalan. Anaknya pula dalam usia awal remaja , sementara si keledai itu sihat dan kuat tetapi badannya agak kecil.
Lalu mereka memulakan perjalanan menuju ke pasar yang letaknya agak jauh dan mengambil masa yang lama. Sesetengah versi mengatakan perjalanan itu mengambil masa satuhari da n ada pula yang mengatakan setengah hari. ‘By the way’, kita tak nak bincang pun pasal masa dan berapa jarak yang perlu diambil oleh anak beranak ini kaldai mereka untuk sampai di pasar.
Apa yang ingin diceritakan ialah, pada mulanya kedua beranak ini menunggang kaldai itu selama beberapa jam, sehingga mereka tiba di sebuah kampung. Apabila melihat seekor keledai kecil dinaiki oleh bapak dan Anak, maka berbisik-bisiklah orang-orang di situ. Kemudian salah satu dari mereka mula membawang.
“Alahai, kesiannya kaldai kecil itu. Dia terpaksa membawa dua orang anak-beranak yang berat. Tidakkah kedua anak beranak itu terpikir yang si kaldai itu sangat menderita selama dalam perjalanan?”
Setelah mendengar kata-kata orang kampung itu, lalu si ayah pun turun dari kaldai dan membiarkan anaknya saja yang menunggang. Setelah beberapa lama, mereka sampai pula di satu kampung yang lain.
Di kampung ini pun ada sekumpulan orang yang berbisik-bisik. Disebabkan terasa ada yang memerhati dan berbisik, lalu si anak pun bertanya kepada orang-orang tersebut dan salah seorang dari kerumunan itu menjawab.
“Hai Anak Muda, lihatlah bapamu yang berjalan di sebelah kaldai itu sedangkan kamu pula sedap-sedap duduk menunggang kaldai dengan santainya. Di mana otakmu sehingga engkau sanggup berbuat demikian terhadap orang tua.Lebih-lebih lagi dia adalah ayahmu sendiri”.
Lalu si anak pun berfikir. 
“betul juga kata-kata orang itu, kesian ayahku yang telah tua berjalan berbatu- sedangkan aku sedap-sedap menunggang kaldai.”

Lalu si anak itu pun meminta ayahnya pula untuk naikdi belakang kaldai dan dia pula yang berjalan mengheret kaldai itu menuju pasar.
Setelah beberapa lama berjalan, tibalah mereka di sebuah kampung yang lain pula. Di sini pun mereka juga terserempak dengan sekumpulan orang. Dan sekali lagi mereka lihat orang-orang di situ saling berbisik-bisik sambil memandang kepada mereka.
Kerana rasa ‘something’ yang tak kena, lalu si ayahpula turun dari kaldai dan pergi bertanya apa yang dibisikkan oleh orang-orang itu.
“Wahai Saudara-Saudaraku, apakah isu yang kalian sedang bisik-bisikkan tadi apabila kalian melihat kami? Adakah sesuatu yang salah dengan kami?”
Salah seorang dari kumpulan pakcik bawang pun berkata.
“Di mana rasa sayangmu terhadap anak ? Anda masih kuat, mengapa anak anda yang masih kecil disuruh berjalan? Sungguh kamu ayah yang keterlaluan.” Katanya dengan lantang, sementara orang-orang lainnya mengiyakan.

Memandangkan ini kes yang ketiga, lalu si ayah pun hilang sabar. 
“Duhai Saudara-saudaraku, tahukah kalian bahwa kami telah melewati beberapa kampung sebelumnya. Dan, tidak ada satu carapun yang kami lakukan dianggap tepat. Kami berterima kasih atas perhatian kalian kepada kami.”
“Cuma saya nak bagitahu kalian, yang berjalan tu adalah anak saya, bukannya anak kalian, dia berjalan menggunaka tenaga beliau sendiri bukannya menggunakan tenaga kalian. Dan jika dia kepenatan dan ingin singgah 'mengeteh' di mana-mana warung, saya yang akan membayar bilnya nanti, bukannya saya minta duit dari kalian. “
“Adalah lebih baik kalian jaga saja hal kalian sendiri daripada membawang dan menjaga tepi kain orang.”

Setelah memohon diri untuk melanjutkan perjalanan, si anak segera naik ke punggung kaldai bersama si bapa. Keduanya menyusuri jalan menuju pasar yang masih separuh jalan. Ketika kaldai kletihan, mereka berhenti di sebuah pinggir danau dengan pemandangan yang indah. Mereka membuka bekal makanan yang telah disiapkan dari rumah, sementara keledai kecil itu meragut rumput dengan senangnya dan minum dari air danau dengan puasnya.

Moral of the story:
Kadangkala, ada hal-hal kita yang remeh pun menjadi perbualan hangat di kalangan orang lain. Jika ini yang terjadi kepada kita, bertenang dan cepat-cepat sedar bahawa sebagai seorang insan biasa, kita tidak boleh memuaskan hati setiap orang. Apa saja yang kita lakukan belum tentu dapat memuaskan hati semua orang.  Mungkin si 'A' berasa puas, tapi tak semestinya si 'B'juga akanpuas hati dengan tindakan kita itu. Jadi, mantapkan tekad dan terus berpegang pada keyakinan kita.
Di samping itu, kita juga harus sedar bahawa kita tidak boleh untuk menutup mulut orang dari bercerita atau berkata-kata tentang diri kita. Jadi apa yang perlu kita lakukan? 
Tutup saja mata kita dari melihat mereka 'membawang' dan pekakkan telinga jika terdengar bisikan atau sindiran yang dituju kepada kita. Sedarilah bahawa setiap dari kata-kata mereka itu tidak sedikitpun dapat menjejas kesihatan dan mempengaruhi hidup kita.
Kitalah yang menentukan hala tuju dan masa depan kita. Orang di sekeliling sekadar tahu memberi komen tapi belum tentu mereka sudi untuk tampil ke depan membantu kita jika satu hari nanti kita tersungkur jatuh. 

Saturday 3 November 2018

Subsidi Petrol yang sedikit kontoversi


Dalam pembentangan belanjawan 2019 yang dibentangkan pada 2 November tempohari, Menteri Kewangan (Yb Lim Guan Eng) telah mengumumkan bahawa kerajaan akan memberi subsidi petrol kepada mereka yang berkelayakan.

Mengikut apa yang dibentangkan tempohari, pada suku kedua tahun 2019 ( mungkin di antara bulan Jun, Julai atau Ogos 2019) harga petrol RON 95 akan diapungkan mengikut harga pasaran.  Denngan erti kata lain, harga petrol RON 95 bukan lagi kekal RM2.20 seliter seperti mana yang kita beli/nikmati sekarang ini.

Bila harga petrol ini mula diapungkan, pasti perbelanjaan untuk mengisi petrol akan bertambah dan ia akan membebankan kita. Mungkin untuk mereka  yang berada di kelas pertengahan yang bergaji RM5,000 ke atas tidak terasa sangat, tapi bagi mereka yang termasuk dalam kumpulan B40 yang bergaji sekitar RM2,000 atau RM3000 pasti akan mengeluh.

Jadi, untuk mengurangkan beban ini, kerajaan telah mencadangkan pemberian subsidi kepada mereka yang berkelayakan.  salah satu daripada syarat untuk memohon subsidi petrol ini ialah pemilik kenderaan yang layak menerima subsidi petrol ini ialah mereka yang mempunyai kereta berkapasiti 1.5CC ke bawah. Manakala pemilik motorsikal pula mestilah yang mempunyai motorsikal berkapasiti  125CC.

Menerusi mekanisma  subsidi itu,  pemilik kereta dijangka akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter sebulan, manakala pemilik motorsikal pula dijangka mendapat subsidi sebanyak  40 liter sebulan. Dengan kata lain, pemilik kereta akan menikmati  penjimatan sebanyak RM30 sebulan  manakala pemilik motorsikal pula akan mendapat penjimatan sebanyak RM12 sebulan.  

Namun begitu, di sini saya ingin menimbulkan satu 'argument' berkenaan mekanisma ini, iaitu sistem atau mekanisma ini seakan menampakan atau memberi kelebihan  kepada pemilik kereta berbanding pemilik motorsikal. Sedangkan apa yang kita lihat, pemilik motorsikal lebih susah hidupnya berbanding mereka yang memiliki kereta.

Ini adalah kerana dari segi nilai atau amaun subsidi yang diterima, kita dapati pemilik kereta menerima peruntukan subsidi  yang lebih besar iaitu  100 liter petrol sedangkan pemilik motorsikal hanya menerima subsidi sebanyak 40 liter sahaja.

Jika dibuat perbandingan, mereka yang mempunyai kereta sudah pasti mempunyai pendapatan lebih tinggi berbanding mereka yang mempunyai motorsikal sebab itu dia mampu untuk pakai kereta.  Di sinilah timbulnya persoalan,  kenapa orang yang mampu pula mendapat peruntukan subsidi yang banyak sedangkan mereka yang tidak mampu hanya memperolehi ‘portion’ yang sedikit.  

Jika formula ini diguna pakai, adakah  matlamat subsidi petrol untuk membantu golongan B40 ini tercapai?  Semoga satu mekanisma yang lebih adil dapat dicari oleh pihak kerajaan sebelum program subsidi petrol ini dapat dilaksanakan. Dengan ini golongan sasar akan mendapat lebih manafaat dari program tersebut.

Sunday 28 October 2018

Perubahan Teknologi dan Nasib Pemandu Teksi


Cabaran teknologi dan permintaan semasa secara langsung boleh  memberi kesan besar terhadap poket atau periuk nasi sesetengah golongan atau pemain dalam satu-satu  industri. 

Contoh yang jelas ialah, pada sekitar tahun 2000 dahulu, disebabkan sikap orang ramai yang suka membeli belah di pasaraya  berhawa dingin telah menyebabkan banyak kedai runcit persendirian serta pasar mini terpaksa ditutup.

Kemudian, bermula  tahun 2012, tabiat membeli-belah secara online mula menular di kalangan pengguna di negara  kita. Tabiat ini telah menyebabkan ramai pengguna tidak lagi suka  keluar untuk membeli belah di pasaraya.  

Mereka lebih selesa berbelanja di atas talian atau lebih dikenali sebagai ‘on line’. Kesannya, ramai peniaga yang menyewa kiosk atau ruang niaga di pasar raya besar mula menerima tempias. Jualan mereka merosot.

Situasi yang sama kini turut  dialami oleh perkhidmatan teksi pada masa ini.  Dari sehari ke sehari  industri  teksi ini  perlahan-lahan  dibunuh  oleh perkembangan industri pengangkutan awam yang  baru, yang dikenali sebagai  e-hailing, yang menjalankan operasi  Uber dan GrabCar. 

Dari sehari ke sehari penumpang mereka dicuri oleh perkhidmatan UBER dan Grab Car. Jika sebelum ini ramai pemandu teksi boleh menjana pendapatan sekitar RM2,000 ke RM3,000 sebulan,kini untuk mendapatkan RM1,000 sebulan pun susah. Ramai pemandu teksi mula mengeluh dengan situasi ini.

Faktor pertama yang menyumbang kepada masalah ini ialah disebabkan oleh  kenaikan kos sara hidup, khususnya di kawasan Bandar.  Kenaikan kos sara hidup ini turut  menyebabkan penumpang mula  memilih perkhidmatan pengangkutan yang lebih murah untuk pergi  membeli-belah, ke tempat kerja, dating dan sebagainya.  Ini memberi kelebihan kepada pemandu Uber danGrab Car berbanding  pemandu teksi kerana mereka menawarkan tambang yang lebih murah berbanding teksi.

Keduanya ialah faktor perang harga. Sebagaimana yang kita sedia maklum, pemandu teksi terpaksa mengikut kadar tambang yang ditetapkan oleh SPAD dan LPKP manakala pemandu UBER dan GRAB Car pula tertakluk kepada hargayang ditentukan oleh pihak syarikat. Dengan ini, pihak syarikat UBER dan Grab Car boleh menggunakan peluang ini untuk melancarkan strategi perang harga. Mereka boleh memanipulasi harga tambang dengan menawarkan kadar yang lebih murah  kepada penumpang berbanding tambang yang dikenakan oleh pemandu teksi. Dengan ini ramai  penumpang yang dulunya menggunakan perkhidmatan teksi mula beralih kepada Grab atau UBER.

Seterusnya  ialah faktor kos. Di mana pemandu teksi  perlu membayar sewa permit, sewa beli teksi dengan syarikat konsesi,  dan  membayar insuran untuk penumpang.  Sedangkan  syarat tersebut tidak tertakluk kepada  pemandu UBER atauGrab Car . Situasi ini telah memberi satu lagi  kelebihan persaingan kepada pemandu UBER dan Grab Car berbanding pemandu  teksi. 

Walaupun kadar tambang yang dikenakan oleh pemandu UBER dan Grab Car ini lebih rendah berbanding tambang teksi, pendapatan yang mereka perolehi adalah lebih lumayan berbanding pemandu teksi.

Oleh itu, sudah tiba masanya pihak kerajaan berbuat  sesuatu untuk menjaga kepentingan  pemandu teksi ini. Mungkin  undang-undang dan peraturan yang dikenakan kepada pemandu teksi juga perlu dipatuhi oleh  pemandu UBER dan Grab Car. 

Adalah  tidak adil jika hanya pemandu teksi saja yang perlu membayar insuran penumpang, mempunyai lesen membawa penumpang (PSV), membuat pemeriksaan kesihatan setiap kali ingin memperbaharui lesen PSV  sedangkan peraturan atau undang-undang tersebut tidak dikenakan kepada pemandu UBER dan Grab Car. Jika undang-undang atau peraturan ini turut dikenakan kepada pemandu UBER atau Grab Car, ia akan menghasilkan suasana persaingan yang lebih seimbang.

Di samping itu,  aktiviti  perang harga juga perlu dikawal dan  diseragamkan. Tambang minimum  perlu ditetapkan supaya perbezaan harga tidak begitu ketara di antara tambang teksi dengan tambang Uber atau Grab Car. Dengan ini penumpang mempunyai pilihan sama ada ingin menggunakan perkhidmatan teksi atau UBER dan Grab Car.

Jika golongan nelayan layak mendapat elaun atau atau insentif bulanan, mungkin elaun atau insentif baru yang hampir sama dengan apa yang diperolehi oleh golongan nelayan ini juga boleh dipertimbangkan   untuk  diagihkan kepada pemandu teksi.   Begitu juga dengan subsidi petrol. Ia juga wajar dipertimbangkan kepada pemandu teksi agar kos operasi mereka dapat dikurangkan. 

Manakala untuk  pemandu teksi pula,mereka juga  perlu berubah mengikut situasi semasa. Seperti mana yang sering ditulis atau ditekankan di dalam blog ini, untuk bersaing di dalam apa jua bidang memerlukan strategi.  Dan strategi itu mesti  sesuai dengan situasi semasa. 

Contohnya, sekarang ini, ramai penumpang suka menggunakan platform e- hailing sekiranya mereka ingin mendapatkan perkhidmatan pengangkutan  jika  ingin ke mana-mana. Oleh itu pemadu teksi  juga perlu  berada atau menggunakan  platform e-hailing  untuk  mencari  bakal penumpang mereka.   Sebagaimana yang ditulis oleh Harper (2003) untuk berjaya dalam sesuatu perniagaan, anda sepatutnya berada di mana bakal pelanggan anda berada, bukannya berniaga di tempat yang anda suka berniaga. 

Begitu juga dengan pemandu teksi. Mereka tidak boleh lagi bergantung kepada cara konvensional iaitu dengan menunggu di perhentian teksi atau hentian bas semata-mata. Mereka mesti berada di tempat di mana bakal penumpang mereka berada. Iaitu di laman sosial dan platform e-hailing. Barulah mereka boleh bersaing dengan pemandu Grab atau Uber.  

Akhir kata semoga  Persatuan Teksi  dapat mempunyai satu  sistem yang serupa dengan sistem yang diguna pakai oleh UBER dan Grab car ini jika mereka ingin bersaing pada masa akan datang sekiranya mereka tidak mahu  menerima nasib seperti  yang dialami oleh pengusaha kedai runcit dan golongan peniaga kecil yang membuka kiosk di pasaraya yang dinyatakan  pada permulaan entri  blog ini  tadi.

Sunday 21 October 2018

Berbaloikah RM157.20 Setahun untuk caruman PERKESO?




Mungkin bagi yang berkemampuan akan mengatakan bahawa amoun ini  adalah ‘ciput’ saja.  Tetapi bagi yang berada dalam kemiskinan, nilai  RM157.20 itu mungkin terasa cukup besar buat mereka. Cukup untuk membeli barangan dapur selama sebulan. 

Begitu juga dengan saya.  Nilai RM157.20 itu juga cukup besar. Dengan RM157.20 itu saya boleh berbelanja untuk makan tengahari selama 22 hari di tempat kerja. Ini kerana sekali saya makan tengahari di kedai makan, harga yang biasa dikenakan adalah  sekitar RM7 atau RM7.50 untuk sepinggan nasi, seketul ayam/ikan dan sedikit sayur beserta segelas air kosong atau sirap ais.  

Mungkin sebab saya bekerja di sebuah pekan kecil. Jadi harga makanan tak berapa mahal.  Sebab itu dengan RM157, saya boleh berbelanja untuk 22 hari. Cuma apa yang ingin disebutkan  di sini ialah nilai RM157 itu sebenarnya cukup besar bagi saya.

Tapi, bila kita bandingkan  nilai RM157.20 yang dicarumkan oleh pemandu teksi kepada PERKESO dengan faedah  yang bakal mereka perolehi, mungkin nilai RM157.20 ini adalah kecil.  

Dengan membayar  RM157.20 setahun  setiap pemandu teksi  bakal menikmati faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah pemulihan dan lain-lain sebagaimana  yang PERKESO berikan kepada pekerja kilang, pekerja swasta dan lain-lain sektor yang mencarum dengan mereka.  

Tapi apa yang sedikit mendukacitakan ialah, ada di kalangan pemandu teksi ini bersuara dan mengatakan yang mereka tidak mampu untuk mengeluarkan wang sebanyak RM157.20 setahun sebagaimana yang diminta dan yang lebih menyedihkan ialah mereka meminta supaya kerajaan  tolong bayar untuk mereka sebagaimana yang dilaporan dalam akhbar The Star hari ini.  

Adakah RM157.20 setahun itu terlalu membebankan? 

Mari kita fikirkan bersama. 

Kalau ikutkan RM157.20 memang satu amoun yang besar. Tapi jika dibahagi dengan setahun rasayanya ia tidak membebankan. RM157.20 adalah bersamaan dengan RM13.10 sebulan atau RM0.43 sen sehari.  Lebih murah berbanding harga segelas ais kosong di kedai mamak. Rasanya semua orang mampu untuk membayarnya. 

Lagi satu, sekiranya kita demam atau selsema, mungkin kita  boleh pergi  ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Setelah berehat sehari dua kita  akan pulih dan  boleh bawa teksi semula.  

Tapi bagaimana  jika abang teksi  terlibat dalam kemalangan sewaktu mereka bawa teksi dan  terpaksa   berehat di rumah untuk tempoh yang agak lama akibat kecederaanyang dialami?  Misalnya 3 bulan.   

Ketika itu siapa yang nak tolong abang teksi bawa teksi untuk  membantu beliau menyara keluarga dan membayar sewa rumah serta bil-bil yang lain?  Di saat inilah mereka amat  mengharapkan kepada bantuan sama ada dari pihak individu atau pertubuhan amal untuk membantu meringankan beban yang ditanggung. 

Jika mereka ada perlindungan PERKESO (SOCSO), mungkin masalah  ini dapat diatasi.  Dan bila berada dalam situasi itu baru kita sedar bahawa nilai RM157.20 setahun yang dicarumkan itu sebenarnya adalah kecil  jika nak dibandingkan dengan apa yang bakal diperolehi nanti.

Jadi rasanya tak perlu lah kot  isu ini diperbesarkan oleh abang-abang teksi.  Malah tidak sepatutnya perkara dibangkitkan sehingga ada cadangan  supaya  kerajaan  pula yang tolong tanggung kos caruman PERKESO ini  bagi pihak mereka.   

Kalau nak ikutkan  tak cukup duit atau tak mampu,  rasanya pendapatan yang diperolehi oleh abang-abang teksi lebih besar jumlahnya  berbanding  pendapatan yang diperolehi oleh pekerja kilang atau pekerja am di sebuah pasaraya.  

Malah ada di antara  mereka ini  yang  gaji  bulanannya  tak sampai pun RM1,500 sebulan. Terpaksa pula buat ‘over time’ setiap minggu untuk menambah pendapatan.  Tapi setakat entri ini ditulis,  belum ada lagi berita   mereka merungut bila melihat ‘slip gaji’ mereka yang menunjukkan  adanya potongan  untuk caruman SOCSO (PERKESO) pada setiap bulan. Malah tak pula kedengaran mereka minta kerajaan tolong ‘subsidies’  bayar caruman SOCSO. 

Saturday 6 October 2018

Jangan Anggap bencana itu sebagai balasan dari tuhanmu..



Sehari dua ini ‘kita’ masih lagi menerima kiriman whatsapp dari kawan sama ada secara personal atau yang dipos dalam ‘whatsapp group’.  Isu yang disentuh ialah isu gempa bumi di Sulawesi atau lebih tepat lagi kejadian Gempa bumi di kota Palu yang mengorbankan ramai penduduknya. Setakat ini jumlah mangsa telah mencecah seramai 1,400 orang. Namun ini bukan lagi  angka rasmi kerana aktiviti mencari dan menyelamat masih diteruskan, walaupun harapan untuk menjumpai mangsa yang terselamat adalah tipis.

Bukan isu gempa bumi atau isu  Tsunami yang ingin ‘kita’ sentuh kali ini, tetapi isu komen yang dihantar leh segelintir kawan ‘kita’  melalui whatsapp group yang menjadi tular dalam minggu ini. ‘Kita’ rasa anda juga mungkin ada menerima komen tersebut sama ada melalui ‘whatsapp group’ atau ‘Facebook’. 

Ayat penuh, ‘kita’ dah lupa, tapi antara lainnya isi atau intipati komen itu mengatakan bahawa kejadian gempa bumi yang berlaku di kota Palu beberapa hari lalu  adalah kerana balasan Allah ke atas penduduk di sana. Menurut komen  itu lagi, ia didatangkan kepada penduduk di sana adalah disebabkan oleh aktiviti kemaksiatan yang dilakukan mereka.
Bagi ‘diri kita’ yang tak seberapa tinggi pelajaran agama ini, kita rasa komen tersebut tak berapa tepat. Setahu ‘kita’, Allah  telah mengkabulkan doa baginda Rasulullah SAW dan berjanji bahawa umat baginda tidak akan disiksa semasa di dunia ini sebagaimana yang ditimpa atau dirasai oleh  umat nabi yang  terdahulu. Umat nabi Muhammad akan diberi balasan yang setimpal di hari akhirat kelak.

Ini adalah kerana  Rasulullah SAW terlalu sayangkan umatnya dan berdoa  memohon kepada Allah supaya memberikan peluang kepada umatnya agar mereka  sempat bertaubat kepada Allah di atas kesalahan yang mereka lakukan. 

Oleh itu, dakwaan bahawa tsunami atau gempa bumi yang melanda Sulawesi beberapa hari lepas merupakan balasan dari tuhan adalah tidak tepat sama sekali. Ini disokong oleh satu ayat dari surah Al fathir ayat 45 yang bermaksud, “Dan kalau sekiranya Allah menghukum manusia disebabkan yang mereka perbuat, niscaya Dia tidak akan meninggalkan di atas permukaan bumi ini satu makhluk melata pun, akan tetapi Allah menangguhkan mereka sampai waktu yang telah ditentukan. Maka apabila datang ajal mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Melihat hamba-hamba-Nya." 

Jadi rasanya tidak tepat untuk kita menunding jari atau menghukum mereka sedemikian rupa. Setiap musibah atau bencana yang diturunkan oleh Allah tidak mengira sma ada kita ini orang beriman atau pun tidak. Dia tidak memilih dari aspek perilaku atau pun ibadat seseorang. Jika tuhan ingin turunkan bala dan bencana, tiada siapa yang boleh menghalangnya. Sesuai dengan firman Allah,  “Jika Allah menghukum manusia kerana kezaliman, nescaya tidak akan ditinggalkan satu pun kehidupan di bumi, tetapi Allah menangguhkan sehingga sampai waktu yang ditentukan,” (an-Nahlu :61).

Oleh itu, perbetulakn niat dan usahlah kita cepat menghukum. Allah Maha Bijaksana dan Maha Adil. Dia tidak mungkin mengambil sikap memusnahkan kampung, bandar, negeri atau negara semata-mata kerana marah dan murka kerana  penduduk di sesebuah negeri atau negara itu  melakukan perkara-perkara yang dianggap dosa besar seperti berzina,  membunuh, mencuri, minum arak dan sebagainya. 

Sekian



Sunday 30 September 2018

Hikmah dari kegagalan


Perkataan ‘gagal’  mengikut  kamus dewan adalah bermaksud “ tidak berhasil atau berjaya.  Iaitu tidak dapat mencapai apa  matlamat yang diimpikan.”  Ia  adalah satu pengalaman yang pahit dan semua orang tak suka.  Ini fakta.  Untuk lebih jelas, cuba pergi  tanya pada setiap individu yang berada di sekeliling kita atau sapa-sapa yang temui. ‘confirm’ 99.99% daripada mereka akan menjawab tak nak!  Tetapi ia tetap hadir dalam kamus hidup kita.

Ada yang gagal sekali.  ada yang gagal dua kali. Malah ada juga yang gagal beberapa kali.  Hal ini merupakan sunnatullah  dan ianya pasti  berlaku dalam kehidupan setiap insan  tak kira sama  ada kita ini seorang yang beriman ataupun tidak. Ia tidak memilih paras rupa, darjat keturunan dan agama.  

Malah para anbiya’ dan rasul juga tidak terkecuali dari menerima kegagalan  sebagaimana firman Allah, “Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan , dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” ( Surah al-Anbiya’/21:35).

Kegagalan adalah sebuah pelajaran hidup yang akan menempah kita menjadi manusia yang kental dan  dan ia merupakan  satu  modal berharga untuk  menuju kepada  keberhasilan.  Tanpa mengalami  kegagalan terlebih dahulu,  tidak akan ada satu  tidakan untuk  membawa kita ke arah keberhasilan.

Kita juga akan belajar dari kesilapan dan berubah setelah kita menemui kegagalan.  Mengikut Mathews (1997), ‘The time most of us ever learned anything is when we get hit over the back of the head!”. Di saat itu baru kita tersedar bahawa kita perlu berubah.  Selagi kita tidak berakhir dengan kegagalan atau ‘hit the brick wall’ selagi itu kita tetap dengan  rutin seharian tanpa berfikir apakah  yang sedang dilakukan ini baik atau sebaliknya untuk diri dan masa depan kita.

Memang  diakui bahawa setiap kegagalan yang dilalui  itu amat  pahit ,  apabila kita pernah melalui pengalaman gagal, barulah kita akan timbul perasaan ingin belajar.  Selagi kita tidak ‘terjelepuk’ , selagi itu kita akan terus melakukan apa yang kita sudah terbiasa.

Apabila kita gagal, barulah kita akan terfikir untuk membuat keputusan  yang tepat kerana di sinilah ‘turnig point’  atau  ‘force’ yang memaksa kita supaya  berhenti  dari melakukan apa yang kita biasa buat selama ini.  Selagi kita  tidak mengalami saat yang dinamakan sebagai ‘disaters’  ini, selagi itu kita tidak sedar bahawa apa yang kita buat selama ini sebenarnya  salah. Dalam konteks ini, kegagalan itu merupakan ‘turning point’  kita untuk berubah menjadi lebih baik.

Di saat  kegagaglan itu singgah di dalam hidup  kita, barulah kita mulai sedar.  Barulah kita mula  menggunakan akal untuk  berfikir dan  bertanya kepada diri sendiri apa yang patut  kita lakukan untuk memperbaiki kegagalan tersebut. 

Oleh itu,  jangan takut pada perkataan  ‘G.A.G.A.L’,  kerana kegagalan merupakan guru yang terbaik untuk kita. Kegagalalah yang  akan mendorong kita  utuk berusaha mencapai kejayaan.  Pengalaman dari jatuh bangun disebabkan kegagalan itu lah yang akan dijadikan pedoman untuk kita memulakan langkah selanjutnya..

Sejarah  juga  telah menunjukkan bahawa  kejayaan besar yang dikecapi oleh kebanyakan individu adalah  bermula dengan kegagalan.  Jika kita pernah membaca kisah hidup  Michael Jordan, The Beatles,  Abraham Lincoln dan Thomas Edison, kita akan dapati mereka ini pernah mengalami kegagalan sebelum mereka berjaya. 

Hamka pernah berpesan , “Jangan takut jatuh, karena yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Jangan takut gagal, karena yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah melangkah. Jangan takut salah, karena dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua.”

Sekian


Monday 24 September 2018

Kesan ketidak tentuan ekonomi kepada perniagaan


Ketidaktentuan ekonomi akan mempengaruhi keupayaan kerajaan sewaktu mereka merancang belanjawan atau bajet tahunan. 

Ini seterusnya akan memberi kesan kepada pelaburan kerajaan dan swasta untuk jangka panjang.

Apabila pelaburan swasta semakin berkurangan, ia kemudainnya akan menyebabkan pelabur asing mula merasa  tidak berbaloi untuk terus melabur di negara kita. Mereka akan keluar dari Malaysia dan melabur di negara yang menjanjikan pulangan yang lebih baik.

Situasi ini dapat kita lihat melalui aktiviti jualan saham secara besar-besaran yang dilakukan oleh pelabur asing di Bursa Malaysia. Contohnya, The edge Malaysia telah melaporkan bahawa sebanyak RM8.6 billion  telah dibawa keluar oleh pelabur asing  dari pasaran Malaysia sepanjang bulan Ogos 2018 yang lalu disebabkan mereka merasakan ianya tidak lagi berbaloi untuk terus melabur di negara dalam waktu yang terdekat ini.

Tindakan mereka ini seterusnya boleh menyebabkan berlakunya pengurangan daam modal pusingan dan mengakibatkan berlakunya penutupan kilang oleh syarikat-syarikat yang yang sahamnya dimiliki oleh pelabur asing tadi. 

Di samping itu, jika masih ada lagi  syarikat multinasional atau kilang-kilang yang masih beroperasi, kebanyakan dari mereka  mula  melaksanakan langkah penjimatan seperti  membayar upah atau gaji  kepada pekerja  dengan gaji  yang lebih rendah berbanding sebelum ini.  

Begitu juga dengan kenaikan gaji tahunan. Jika sebelum ini, golongan pekerja mendapat kenaikan gaji antara 7% hingga 10% setahun, tetapi apabila langkah penjimatan ini diambil, kenaikan gaji pekerja mungkin hanya  sekitar 2% hingga 3% kenaikan sahaja setahun.  Malah ada juga pekerja yang bekerja di  kilang atau syarikat multinasional ini tidak mendapat kenaikan gaji tahunan.

Kesan dari tindakan atau langkah penjimatan ini seterusnya akan menyumbang kepada pengurangan dalam pendapatan perkapital pengguna.   Akhirnya, dalam tempoh empat atau lima bulan kemudian, barulah kesan ini dirasai oleh para peniaga.

Pada  peringkat permulaan, kumpulan peniaga yang paling awal merasai akan kesan kemelesetan ini ialah golongan peniaga yang menjalankan perniagaan menjual barangan mewah.   Ini adalah kerana sebahagian besar dari pelanggan mereka yang dulunya galak berbelanja mula mengubah gaya hidup. 

kebanyakan dari mereka kini hanya  membeli  barang yang dianggap sebagai barang keperluan sahaja dan tidak lagi membeli barangan mewah seperti dulu. Mereka sebolehnya akan cuba untuk memakai atau menggunakan barangan mewah yang dibeli sewaktu sebelum kegawatan ekonomi berlaku dulu sehingga barangan tersebut rosak atau tidak boleh diperbaiki lagi, barulah mereka akan pergi membelinya semula.

Contohnya,  jika sebelum berlakunya kegawatan ekonomi, kita dapati ramai pengguna kelas atasan atau kumpulan eksekutif suka membeli pakaian di butik-butik yang berjenama. Tetapi, apabila berlakunya kemelesetan ekonomi, golongan ini mula mengubah corak pembelian mereka.

Mereka tidak lagi mengunjungi butik berjenama sebaliknya mereka mula beralih dan membeli pakaian di pasaraya biasa saja.  Jika mereka  masih  juga ingin membeli  pakaian di butik-butik  berjenama ini, mungkin mereka akan pergi ke sana dalam dua tiga bulan sekali. Paling tidak pun dalam lat enam bulan sekali.

Perubahan sikap penggua ini dapat kesan dari rekod hasil jualan  yang diperolehi pada setiap hujung bulan. Jumlah jualan  semakin berkurangan. Jika sebelum ini perniagaan mereka  mampu menjana keuntungan, tapi kini tidak lagi. Malah ada di kalangan peniaga yang terpaksa mengeluarkan semula wang simpanan  mereka untuk menampung kos operasi. 

Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...