Tuesday 2 January 2018

2018 yang dinanti.



Selamat Tahun Baru 2018. Rasanya masih belum terlewat untuk saya mengucapkan selamat tahun baru kepada penjengok blog Strategi perniagaan dan Pengurusan Pemasaran  kerana hari ini baru hari kedua.  Kanak-kanak sekolah pun baru saja masuk darjah satu . Semoga tahun 2018 ini memberi satu harapan baru buat kita semua. 

Tahun 2017 telah meninggalkan 1001 kisah suka duka kepada kita,  terutamanya kepada mereka yang terlibat dalam  dunia perniagaan. Pada tahun lepas, ramai di kalangan peniaga yang menghadapi kesukaran dan  mencapai target jualan.  Tak kira peniaga yang menjalankan perniagaan secara ‘off line’ atau pun yang menjalankan perniagaan secara atas talian. 

Kesan dari kejatuhan nilai matawang negara dan ketidak tentuan harga petrol dan disel telah menyukarkan lagi perniagaan yang diusahakan itu untuk mengekalkan kesinambungannya. Kesan  dari  ketidak tentuan harga bahan api ini sedikit sebanyak telah menyebabkan harga produk yang dibeli dari pembekal atau pemborong menjadi mahal pada setiap bulan. Dan mahu atau tidak, pihak peniaga terpaksa  pula menjualnya dengan harga yang sedikit mahal kepada pembeli. Ini seterusnya membuatkan golongan  pengguna mula menjauhi perniagaan mereka atau mengurangkan kuantiti barang yang dibeli dan seterusnya  menyebabkan ramai peniaga mula mengalami kemerosotan dalam jualan.

Situasi ini bukan saja dirasai oleh peniaga kecil yang menjual pisang goreng di tepi-tepi  jalan atau mereka yang menjual  aksesori telefon bimbit di pasar malam sahaja. Tetapi ia turut dirasai oleh majoritu  peniaga yang menjalankan perniagaan  kedai runcit, pasaraya, automotif dan perkhidmatan perhotelan.  Malah buat pertama kalinya ia turut dirasai oleh  mereka yang berkecimpung dalam dunia  perawatan kesihatan . 

Tahun 2017 menyaksikan penutupan  beberapa  syarikat besar bertaraf multinasional (MNC) seperti Rubicon Technology Inc, Seagate Technology PLC, British American Tobacco (BAT), Samsung, Amphenol Corp, Fairchild Semiconductor International Inc, STR Holdings Inc dan SunEdison Semiconductor Ltd. Penutupan syarikat-syarikat besar ini telah menyebabkan seramai  6,142 kehilangan pekerjaan dan kerajaan kerugian sebanyakRM5.4 bilion FDI. 

Manakala sektor peruncitan pula  kita  menyaksikan penutupan  beberapa supermarket atau pasaraya besar.  Ia bermula dengan penutupan 3 cawangan AEON BIG  pada bulan Februari 2017. Cawangan AEON BIG Kota Damansara, River City (Jalan Ipoh) dan  Bangsar South  ditutup kesan dari kekurangan daya beli pengguna, persaingan sengit  dan kos operasi yang semakin meningkat.  Kemudian siri penutupan pasaraya besar ini diakhiri dengan  penutupan  5 cawangan Giant supermarket  pada bulan Okober 2017. Juga dengan alasan yang sama.  Cawangan yang terlibat ialah di Giant  Sri Manjung, Sungai Petani, Shah Alam, Sibu dan Selayang Lama. 

Seterusnya,  semua  rangkaian kedai Rayat 1 Malaysia juga mengalami nasib seperti mana  Giant Supermarket dan AEONBIG ini. Walaupun rangkaian kedai 1 Malaysia  ini mendapat sokongan daripada pihak kerajaan dan mendapat sambutan dari kalangan penduduk, namun  sebanyak 185 buah kedai Rakyat 1 Malaysia  terpaksa  ditutup secara rasmi pada bulan September 2017 yang lalu.  Ini menyebabkan ramai penduduk yang sebelum ini dapat membeli barang kegunaan harian dengan harga murah  terpaksa membeli barangan yang sama  di kedai-kedai runcit biasa atau pasar mini yang harganya tentu melebihi 30% daripada harga barang yang dijual di Kedai Rakyat 1 Malaysia.

Malah yang paling mengejutkan kita  ialah buat pertama kali dalam sejarah, sebanyak 500 buah klinik swasta di seluruh negara dilaporkan telah ditutup  setakat peretengahan tahun  2017 yang lalu  kerana tidak pemiliknya sudah tidak  lagi mampu untuk menampung kos operasi  yang semakin meningkat dan perubahan sikap pengguna.

Jika sebelum ini orang ramai lebih selesa mendapatkan rawatan di klinik-klinik swasta, kini akibat dari tekanan kos sara hidup, mereka tidak lagi mengunjungi klinik swasta sebaliknya mereka lebih rela bersesak dan menunggu lama di klinik-klinik kerajaan untuk mendapatkan rawatan.

Manakala dalam sektor hartanah pula,  pada 18 November 2017 yang lalu, Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan amaran kepada pemaju dan mereka yang terlibat dalam urusan jual beli hartanah supaya berhati-hati kerana jualan pasaran hartanah di dapati semakin merosot.  Banyak rumah-rumah yang dibina oleh pemaju tidak terjual. 

Kepada peniaga yang mungkin menjangka perniagaan anda bakal  menghadapi masalah, bolehlah mencari mana-mana kelas atau bengkel pengurusan kerana tahun 2018 ini dijangka  keadaan ekonomi negara semakin mencabar.  Sekarang masih lagi awal tahun, masih belum terlambat untuk anda bertindak. 

Ini adalah kerana  mengikut kajian sebuah syarikat perunding (Nielsen) yang dilakukan pada bulan November 2017, menunjukkan bahawa tahap keyakinan pengguna terhadap kemampuan ekonomi negara serta keyakinan mereka untuk berbelanja  adalah rendah.  Kesan ini pasti akan  menyumbang kepada kemerosotan  jualan  pada tahun 2018 ini.

 

No comments:

Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...